Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cakapan baur perkauman kepada pasangan antara kaum 'tidak boleh diterima': Shanmugam

Jun 7, 2021 | 5:30 AM
ce30cdf7-72c6-4a82-845c-0b0b6464c0db
-

SATU video telah menular di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki Cina membuat kenyataan berbaur perkauman kepada pasangan yang berlainan bangsa.

Memberi komen tentang video itu dalam satu pos Facebook, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, Encik K Shanmugam berkata sementara beliau tidak mempunyai fakta sepenuhnya mengenai kejadian itu, tetapi nampaknya lebih ramai merasakan bahawa mereka boleh membuat kenyataan berbaur perkauman "secara bersemuka" dengan terbuka.

Menyifatkan insiden itu sebagai "agak tidak boleh diterima" dan "amat membimbangkan", Encik Shanmugam berkata beliau pernah percaya bahawa Singapura bergerak ke arah yang tepat dari segi toleransi perkauman dan keharmonian, namun disebabkan kejadian terkini, beliau "tidak lagi pasti".

Video konfrontasi itu, yang berlangsung selama lima minit, telah dikongsi oleh pengguna Facebook, Dave Parkash, 23 tahun.

Dalam video itu, seorang lelaki Cina warga Singapura menuduh Encik Parkash "memburu seorang perempuan Cina".

Video itu kelihatan dirakam oleh teman wanitanya.

Lelaki itu juga menambah bahawa wanita Cina itu tidak seharusnya bersama dengan seorang lelaki India.

Dalam videonya, Encik Parkash juga menjelaskan bahawa beliau berdarah kacukan India dan Filipina sementara teman wanitanya itu kacukan Cina dan Thailand.

Bercakap dalam posnya semalam, beliau berkata:

"Kami berdua adalah kacukan tetapi kami bangga menjadi warga Singapura."

Tambahnya, bahawa beliau merasa malu dan terluka dengan cara beliau dilayan oleh rakan warga Singapura lain.

Encik Parkash berkata lelaki berkenaan telah memberitahu mereka bahawa mereka seharusnya mencari pasangan "orang daripada bangsa sendiri".

"Beliau memanggil dirinya sebagai seorang yang bersifat perkauman malah menyalahkan kami menjadi perkauman hanya kerana kami daripada bangsa berbeza," ujar beliau.

"Cinta adalah cinta. Cinta tiada bangsa, cinta tiada agama.

"Anda dan saya seharusnya boleh mencintai sesiapa sahaja yang kita ingin cintai.

"Janganlah kita jadi seperti lelaki dalam video ini," tambah Encik Parkash.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg