PELAJAR yang dikuarantin yang ingin menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini perlu memberitahu sekolah sebelum 12 tengah hari pada hari mereka menerima arahan kuarantin. Mereka juga perlu melakukan ujian pantas antigen (ART) pada 6 petang pada hari sebelum setiap kertas. Ini antara peraturan yang lebih terperinci yang disertakan dalam surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) menjelang ujian bertulis PSLE pertama pada Khamis (30 Sept). Pada Ahad, kementerian itu dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura mengumumkan peraturan baru yang membolehkan pelajar yang dikuarantin dan mereka yang dibenarkan tidak hadir menduduki peperiksaan kebangsaan mereka. Ia berkata mereka yang dikuarantin harus disahkan negatif Covid-19 dengan ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) pada permulaan arahan kuarantin, dan melakukan swab sendiri dengan kit ART di rumah dan disahkan negatif dalam masa 24 jam sebelum setiap kertas peperiksaan. Surat pekeliling pada Selasa itu menambah murid yang dikuarantin mesti tunggu di rumah untuk pegawai Certis tiba dan melakukan ujian PCR kemasukan mereka. Surat pekeliling tersebut menyatakan bahawa ujian PCR memerlukan sekurang-kurangnya 24 jam untuk diproses jadi paling awal murid dapat menduduki peperiksaan PSLE adalah dua hari selepas hari pemberitahuan. Ini bermakna jika ujian dijadualkan sehari selepas murid menerima arahan kuarantin, mereka tidak akan dapat menduduki kertas tersebut tetapi boleh memohon pertimbangan khas melalui sekolah. Di bawah pertimbangan khas, calon akan diberikan gred yang diunjurkan bagi kertas tertentu yang mengambil kira beberapa sumber data, seperti prestasi calon dalam ujian lain bagi subjek itu dan prestasi kohort sekolah dalam peperiksaan berasaskan sekolah dan kebangsaan. Pegawai Certis juga akan memberi kit ART untuk calon menjalankan ART setiap hari sementara menunggu keputusan ujian PCR kemasukan mereka, kata pekeliling tersebut. Mereka akan diberitahu mengenai keputusan itu melalui portal dalam talian dan aplikasi HealthHub atau SMS. Sekiranya ujian PCR kemasukan adalah negatif, murid itu perlu mengambil ART petang itu sebelum ujian dan mengambil gambar keputusan ART negatif tersebut. Pada hari peperiksaan, pekeliling itu berkata murid perlu menunjukkan ujian PCR negatif dan gambar keputusan ART untuk menduduki kertas PSLE. Dia harus terus melakukan ART sehari sebelum baki kertasnya. Surat pekeliling tersebut menambah bahawa ibu bapa yang dikuarantin boleh menemani anak mereka ke sekolah setelah memenuhi syarat yang sama. Ia menekankan bahawa calon perlu terus ke lokasi peperiksaan dengan menaiki kenderaan privet atau berjalan kaki. Mereka yang positif Covid-19 atau dikenakan notis jangan keluar rumah masih tidak dibenarkan menduduki peperiksaan tahun ini.