Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Case: Aduan terhadap penjual e-dagang naik 47% pada 2023

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Case: Aduan terhadap penjual e-dagang naik 47% pada 2023

Feb 08, 2024 | 05:50 PM



Aduan daripada pengguna membabitkan pembelian dalam talian yang diterima oleh badan pemerhati pengguna melonjak 47 peratus pada 2023, dengan kira-kira satu perlima daripada keluhan ditujukan kepada perusahaan penerbangan, pelancongan dan hotel.

Perangkaan tahunan yang dikeluarkan Persatuan Pengguna Singapura (Case) pada 8 Februari mendapati bahawa industri kereta menerima aduan tertinggi iaitu 1,306, walaupun terdapat penurunan secara umum bagi pelbagai perdagangan, seperti kontraktor pengubahsuaian dan perkhidmatan kecantikan sejak 2022.

Secara keseluruhan, bagaimanapun, jumlah aduan susut 24 peratus, daripada 15,144 kepada 13,991.

Case berkata ia menerima 3,711 aduan pengguna terhadap e-perniagaan dan e-pasar atau ‘e-marketplace’ pada 2023, berbanding 2,530 pada 2022.

Daripada aduan ini, kira-kira satu perlima melibatkan kejadian di mana pengguna tidak menerima pesanan mereka mengikut garis masa penghantaran yang dipersetujui.

17 peratus lagi melibatkan keadaan di mana pengguna tidak menerima bayaran balik dalam tempoh masa yang diberikan oleh penjual.

Presiden Case, Encik Melvin Yong, menyatakan kadar aduan yang tinggi terhadap perniagaan dalam talian merupakan satu perkara yang menimbulkan kebimbangan.

“Itu sebabnya Case melancarkan Skim Akreditasi CaseTrust untuk e-perniagaan tahun lepas bagi membantu pengguna mengenal pasti e-perniagaan yang boleh dipercayai dan beriltizam kepada perdagangan yang adil dan dasar mesra pengguna,” kata Encik Yong, sambil menambah bahawa 11 e-perniagaan telah memohon untuk akreditasi.

Satu daripada kira-kira lima aduan e-dagang pada 2023 melibatkan industri penerbangan, pelancongan dan hotel, kata Case.

Aduan terhadap e-perniagaan menyumbang 85 peratus daripada aduan e-dagang, manakala baki 15 peratus datang daripada pembelian yang dibuat melalui pasaran dalam talian.

Aduan membabitkan sektor kereta meningkat 8 peratus, daripada 1,213 kepada 1,306.

Ini berlaku apabila Case melihat peningkatan mendadak dalam aduan yang melibatkan kereta sewa terutamanya yang berkaitan dengan kerosakan yang sedia ada.

Daripada 1,306 aduan itu, 60 peratus dan 33 peratus adalah berkaitan kereta terpakai dan kereta sewa.

Kira-kira 35 peratus aduan yang melibatkan industri kenderaan bermotor berkaitan dengan barangan yang rosak atau tidak mematuhi piawaian, masalah yang lazim berlaku dalam kereta terpakai.

Pengguna mengalami kerugian kira-kira $476,000 dalam prapembayaran pada 2023 terutamanya disebabkan oleh penutupan perniagaan secara tiba-tiba, dengan industri kecantikan menyumbang jumlah kerugian tertinggi, sebanyak $116,000.

Ini diikuti oleh industri gimnasium dan kelab kecergasan pada $110,000.

Dengan bantuan daripada Case dalam rundingan dan pengantaraan aduan, pelanggan berjaya memperoleh hampir $2.5 juta dalam bentuk wang tunai dan barangan.

Ini adalah peningkatan daripada $2.1 juta yang diperoleh semula pada 2022.

Encik Yong berkata walaupun Case menyaksikan penurunan keseluruhan aduan pengguna pada 2023, lebih banyak boleh dilakukan untuk mengurangkan jumlah itu.

Beliau berkata: “Lebih banyak yang perlu dilakukan untuk mengukuhkan perlindungan pengguna dan menangani masalah biasa pengguna. Case akan terus melibatkan pemerintah dan pihak berkepentingan industri bagi mengukuhkan perlindungan pengguna dan menghentikan amalan perniagaan yang tidak diingini.”

Berikut ialah 10 industri teratas dengan aduan pengguna pada 2023:

1. Kenderaan (1,306 aduan)

2. Elektrik dan elektronik (1,195)

3. Kontraktor (1,168)

4. Kecantikan (1,166)

5. Perabot (715)

6. Makanan dan minuman (571)

7. Telekomunikasi (529)

8. Perjalanan (471)

9. Rambut (376)

10. Syarikat Penerbangan (375)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >