Dibesarkan dalam keluarga berbangsa Cina dan beragama Buddha tetapi kini dalam perjalanan menjadi seorang mualaf, Cik Jasmine Tay, 24 tahun, sering berkongsi pengalamannya bersama pengikut TikTok di akaun peribadinya, @tksaj.
Pada mulanya, Cik Tay mengambil inisiatif untuk melibatkan diri dalam organisasi khas bagi mualaf, Salam Sisters, yang merupakan sebahagian daripada Converts Central – pertubuhan yang antara lain menyokong mualaf di sini.
Beliau merupakan mahasiswa jurusan perniagaan dalam bidang pemasaran di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan juga terlibat dalam Persatuan Muslim NUS.
Semasa dihubungi Berita Harian (BH), Cik Tay berkata beliau terpegun dan tergerak hati untuk mengenali agama Islam.
Semasa menjalani program pertukaran semester di Shanghai, Cik Tay mengambil peluang untuk meluaskan pengetahuannya tentang agama Islam dari sudut pandangan orang Cina.
“Di Shanghai, saya melawat beberapa masjid dan kawasan yang dihuni orang Islam. Daripada pengalaman itu saya sedar bahawa walaupun beragama Islam, ramai orang Cina tetap mempertahankan budaya mereka dari segi makanan, pakaian dan seni bina,” kata Cik Tay.
Pengalaman itu dikongsi bersama pengikutnya di TikTok beliau, @tksaj, yang kini diikuti 27,000 orang.
Laman TikTok Cik Tay digemari ramai orang muda, terutama belia Islam dan mualaf yang mempunyai pengalaman yang serupa.
Rekaan video beliau sangat pelbagai, merangkumi pelancongan, gaya hidup, perkara mengenai motosikal dan juga catatan pengalamannya ke arah Islam.
“Saya bermula merakam dan memuat naik video mengenai Islam pada 2024, apabila saya cuba berpuasa buat kali pertama. Pada mulanya saya anggap TikTok sebagai catatan diari maya,” kata Cik Tay tentang keinginan berkongsi pengalamannya mempelajari tentang agama Islam.
Menurut Cik Tay, amat penting bagi generasi muda menggunakan media sosial untuk berkongsi pengalaman masing-masing, sebagai peringatan bahawa cabaran kehidupan tidak seharusnya dilalui secara keseorangan.
“Saya tahu bagaimana perasaan sunyi sebagai seorang berbangsa Cina yang sedang menjalankan kehidupan sebagai penganut beragama Islam. Saya tidak mahu orang lain melalui perasaan yang sama,” ujar beliau.
Cik Tay berkata beliau mula belajar tentang Islam pada 2019 selepas memerhatikan gaya hidup rakan-rakannya yang beragama Islam.
Sebagai seorang berbangsa Cina, Cik Tay telah melalui pelbagai perubahan dari segi cara hidupnya.
“Perubahan gaya hidup saya yang paling ketara adalah apabila saya melancong bersama keluarga saya,” jelas Jasmine.
Memandangkan pemakanan saya dan keluarga saya berbeza, kami cuba mencari tempat makanan yang menyediakan kepelbagaian makanan yang sesuai untuk semua, supaya masih dapat makan bersama.”
Buat masa ini, video-video yang dikongsi Cik Tay sering disambut dengan komen positif yang sentiasa memberi kata-kata aluan kepadanya.
Namun, ada yang mengkritik cara beliau menuntut ilmu agama, dari segi pakaian dan pemakanan dan ada juga yang cuba memberi nasihat dengan kasar.
“Setiap orang sedang dalam perjalanan masing-masing,” kata Cik Tay, apabila diminta memberi respons terhadap komen negatif tentang dirinya.
Cik Tay ingin membuka rumahnya kepada rakan-rakan Melayu/Islam sempena Tahun Baru Cina ini kerana beliau percaya ia satu peluang pertukaran budaya.
Beliau juga menekankan pentingnya untuk sentiasa mencari keseimbangan budaya Cina dan agama Islam.
“Apabila saya membalas komen-komen ini, saya percaya ini adalah peluang untuk saya berkongsi ilmu, terutama dengan mereka yang kurang memahami situasi saya,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg