Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cawangan HDB Punggol, Queensway bakal pindah ke lokasi baru

Aug 13, 2022 | 5:30 AM
KIOSK BANTU DIRI: Cawangan baru HDB di Punggol dan Queenstown akan mempunyai kiosk bantu diri untuk mengurangkan tempoh menunggu bagi penduduk. - Foto HDB
KIOSK BANTU DIRI: Cawangan baru HDB di Punggol dan Queenstown akan mempunyai kiosk bantu diri untuk mengurangkan tempoh menunggu bagi penduduk. - Foto HDB -

CAWANGAN Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Punggol dan Queensway akan mula beroperasi dari lokasi baru pada bulan September.

Cawangan yang terletak di Punggol akan kekal di 80 Punggol Field sehingga 31 Ogos dan beroperasi dari hab masyarakat bersepadu di 1 Punggol Drive mulai 1 September, kata HDB semalam.

Penduduk boleh memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh lebih 20 agensi pemerintah di Pusat ServiceSG di hab One Punggol, yang berjarak lima minit berjalan kaki dari stesen MRT Punggol.

Menurut akhbar The Straits Times, memandangkan kawasan Tanglin Halt tidak lama lagi akan dibangunkan semula di bawah Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (Sers), cawangan Queensway akan dipindahkan dan dinamakan semula cawangan Queenstown.

Cawangan di 46 Commonwealth Drive akan beroperasi sehingga 2 September dan menyambung semula perkhidmatan di Blok 38A Margaret Drive mulai 5 September.

Lokasi ini akan berdekatan dengan jalur flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru seperti SkyOasis @ Dawson dan SkyResidence @ Dawson.

Cawangan Punggol dan Queenstown baru akan mempunyai kiosk elektronik bantu diri, stesen AXS dan kiosk pembayaran tunai, dengan duta perkhidmatan untuk membimbing penduduk.

Dengan kiosk ini, penduduk boleh memohon dan memperbaharui permit musim untuk letak kereta, menyewa flat mereka dan mengemas kini nama penghuni di flat mereka, contohnya.

Penduduk juga boleh mengakses perkhidmatan dalam talian menggunakan HDB InfoWeb atau aplikasi Mobile @ HDB.

Bagi mengurangkan masa menunggu, penduduk boleh menjadualkan janji temu di cawangan baru melalui InfoWeb HDB.

Untuk maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi talian perkhidmatan cawangan di 1800-225-5432 atau layari laman web https://services2.hdb.gov.sg/

Cawangan Punggol baru akan dibuka pada hari bekerja, kecuali cuti umum, dari 9 pagi hingga 5 petang. Kiosk bantu diri akan tersedia sehingga 10 malam setiap hari.

Cawangan Queenstown baru pula akan beroperasi pada hari bekerja, kecuali cuti umum, dari 8 pagi hingga 5 petang. Kiosk bantu diri akan beroperasi 24/7.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg