TAHUN ini, Tabung Amal Aidilfitri (TAA) meraikan ulang tahunnya yang ke-30.
Lantaran itu, kempen Ramadan TAA tahun ini menyasarkan untuk mengumpul derma melebihi $1.2 juta.
Pada hari pertama kempen amal Ramadan TAA dilancarkan pada 30 Mac lalu, Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) berjaya mengumpul $32,222.
Bagi kempen tahun ini juga, dua orang Duta Kempen dilantik. Mereka ialah Cef Mel Dean dan pelakon Shahril Wahid.
Mengulas tentang pelantikan beliau sebagai Duta Kempen TAA, Cef Mel Dean berkata:
"Saya terharu dilantik sekali lagi sebagai Duta Kempen TAA bersama Shahril Wahid. Pada masa sama, saya juga terkenangkan arwah pelawak Alias Kadir yang dahulu menjadi Duta Kempen TAA bersama kami."
Cef Mel Dean sudah menjadi Duta Kempen TAA selama empat tahun.
Katanya lagi, "Selama saya menjadi Duta Kempen TAA, saya gunakan wadah digital media sosial secara maksimum untuk menguar-uarkan kempen amal Ramadan TAA.
"Sebelum Covid-19, saya pernah pergi ke rumah penerima TAA yang mengambil tempahan makanan dari rumah. Saya berkongsi ilmu untuk merancakkan lagi perniagaan mereka.
"Saya kagum dengan semangat mereka kerana ada yang benar-benar berusaha supaya mereka dapat kembali berdikari menyara hidup sendiri.''
Cef Mel yang sudah berkecimpung dalam industri makanan dan minuman sejak 1993, juga pernah membantu mendapatkan tajaan daripada teman-temannya dalam industri seperti pes Asyura untuk menjual produk mereka di gerai TAA sebelum Covid-19.
Semua hasil penjualan produk makanan disalurkan kepada Dana Amanah TAA.
"Justeru kalau boleh, saya mahu menyumbang lebih banyak lagi seperti menganjurkan masakan amal atau demo masakan sebagai Duta Kempen TAA pada tahun ini tetapi buat masa ini, saya akan bantu tingkatkan usaha-usaha TAA menerusi wadah media sosial," kata Cef Mel.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg