WALAUPUN urusan masak-memasak sering dikaitkan dengan kaum wanita, namun apabila tugas itu dikaitkan dalam konteks profesional, cef lelaki sering dilihat lebih menonjol dari segi pangkat dan visual - terutama dalam industri makanan dan minuman (F&B) di restoran mewah dan hotel antarabangsa.
Ini diakui sendiri oleh cef selebriti setempat, Cef Siti Mastura Alwi, biarpun beliau kian mantap membina nama dalam bidang kulinari.
Beliau merupakan usahawan kek (Siti's Delight), seorang guru masak, pernah menjadi hos rancangan memasak di televisyen (TV), Vanilla sehinggalah menjadi duta produk tepung popular, Prima.
Bahkan, Cef Siti Mastura akui beliau pernah diremehkan hanya kerana dinilai dari luaran.
"Pernah dalam satu rancangan realiti memasak,saya diundang untuk menunjuk cara memasak dan saya bawa doh yang saya siapkan untuk digunakan para peserta pertandingan.
"Sebaik saya sampai di studio, ada cef lelaki berkata, Kak Siti... Kak Siti tak payah susah-susah... pergi solek, kami akan uruskan doh-doh ini.
"Saya ikutkan saja arahan itu. Tetapi kemudian, anak saya beritahu doh yang cef lelaki itu uruskan, semuanya telah dirosakkan dan tak boleh digunakan lagi.
"Saya terkejut dan marah, tetapi rakaman TV perlu diteruskan.
"Justeru saya minta masa untuk siapkan doh baru. Saya dapatkan jenis tepung yang tepat dan memandangkan saya duta Prima, cepat-cepat tepung itu dikirimkan ke studio.
"Dalam tempoh satu jam, doh baru dapat disiapkan dan rakaman boleh diteruskan.
"Selepas insiden itu, barulah cef-cef lelaki itu tunduk hormat dan panggil saya Cef Siti, bukan Kak Siti," cerita guru masak yang kini sibuk mengendalikan bengkel-bengkel memasak dan pastri di akademi-akademi memasak Malaysia dan Indonesia serta secara privet.
Cef Siti Mastura, yang masih kelihatan anggun pada usia 59 tahun, hari ini mampu berdiri sama tinggi dengan cef hotel antarabangsa.
Pada Mei ini, beliau berkolaborasi dengan Hotel Holiday Inn Atrium. Cef Siti Mastura menyediakan enam juadah khas beliau yang disajikan di Restoran Atrium.
"Tentu sekali ini merupakan penghormatan besar buat saya kerana biasanya, hotel antarabangsa memilih untuk bekerjasama dengan cef luar negara yang ternama. Ia merupakan satu pengiktirafan yang berharga.
"Saya gunakan peluang ini untuk melestarikan masakan warisan Melayu dan kuih- muih tradisional," ujar beliau yang sebelum ini pernah berkongsi bagaimana beliau hanya mula belajar memasak sehingga berjaya mendapat diploma kulinari selepas diberhentikan kerja sebagai seorang setiausaha.
Untuk kolaborasi dengan restoran tersebut, antara lain beliau menyediakan cucur udang menggunakan tepung mil penuh, rendang daging, sambal udang malbari dan nagasari butterscotch.
"Sambal udang malbari yang dihidangkan itu pernah mendapat perhatian seorang menteri dalam satu jamuan dan bertanya siapa yang memasaknya.
"Saya belajar resipi itu daripada kakak ipar saya, yang berketurunan India. Maklum balas menteri itu memberi kesan besar kepada saya sehingga saya belajar bersungguh-sungguh memastikan masakan biasa di rumah pun tinggi mutunya," kongsi beliau.
Menyingkap jatuh bangunnya dalam bidang kulinari, Cef Siti Mastura yang menjadi duta pengeluar tepung Prima sejak 2015 akui bukan mudah untuk beliau bertahan dan teguh dengan prinsipnya menceburi bidang itu secara profesional apabila berdepan dengan tuntutan komersial yang sering kali mementingkan keuntungan besar dalam masa singkat berbanding menjaga mutu dan pelaburan jangka masa panjang.
"Saya mempunyai ramai pelajar setia, Ada yang hanya mahu sertai kelas memasak di sesebuah akademi jika saya yang menjadi gurunya.
"Tetapi saya pastikan kelas memasak itu tidak terlalu ramai kerana saya mahu berikan perhatian peribadi kepada pelajar-pelajar saya dan saya mahu mereka benar-benar faham apa yang diajarkan sebab mereka sudah membayar mahal.
"Saya selalu galakkan para pelajar saya untuk gunakan ilmu masak daripada saya, untuk tambah pendapatan mereka. Saya selalu tekankan kepada pelajar penting untuk mereka majukan masakan tradisional dan kuih-muih Melayu," ujar beliau.
Namun prinsipnya berpegang kepada nilai tradisional dan mutu dalam masakan kadangkala tidak mendapat sokongan sewajarnya,
"Tidak semua pengendali akademi masak sama pemikiran dengan saya. Ada yang mahu menarik sebeberapa ramai pelajar dalam satu kelas untuk mendapat keuntungan cepat, mengurangkan kos sehingga menjejas mutu.
"Saya tak boleh berkompromi dalam soal menjaga mutu dan memberi yang terbaik kepada pelajar saya," kata beliau.
Sebagai cef yang rajin berinteraksi dengan pengikutnya, Cef Siti Mastura yang mempunyai lebih 18,000 pengikut di Instagram sering berkongsi panduan dan resipi di media sosial. Namun ini juga mendedahkan beliau kepada komen-komen yang boleh menjatuhkan nama baiknya.
"Di media, saya hanya berkongsi resipi umum seperti bagaimana nak buat kek gulung. Tetapi kek gulung itu boleh dipelbagaikan untuk meningkatkan rasa dan daya tarikannya sehingga ia menjadi hidangan yang ekslusif.
"Saya tak boleh kongsikan resipi eksklusif kerana saya harus berlaku adil kepada para pelajar saya yang dah bayar mahal-mahal untuk ikuti kelas. Tak sama belajar ikuti resipi saya dengan belajar di kelas secara berdepan dengan guru," ujarnya.
Beliau mempunyai pelajar dari sejauh Australia dan Belanda, selain dari Malaysia dan Indonesia.
"Semasa era Covid-19, sedang orang lain tersekat kegiatan, saya pula semakin sibuk kendalikan kelas menerusi Zoom. Pelajar saya semakin bertambah dari pelbagai negara.
"Selepas Covid-19, ada pelajar dari Australia terbang ke Singapura untuk jumpa saya dan belajar cara buat kek lapis secara peribadi," ujarnya.
Untuk jangka masa panjang, Cef Siti Mastura berkata beliau berharap akan dapat membuka sebuah tempat yang mengetengahkan semua masakan yang menterjemahkan jenamanya.
"Saya ingin melakukan sesuatu untuk memastikan kuih-muih Melayu terpelihara dengan mutunya terjaga sehingga dianggap juadah bermutu warisan Melayu.
"Kalau kita bersikap sambil lewa terhadap kuih-muih tradisional Melayu, kita akan hilang identiti warisan itu," ujarnya.
"Tentu sekali (kolaborasi dengan Hotel Holiday Inn Atrium) ini merupakan penghormatan besar buat saya kerana biasanya, hotel antarabangsa memilih untuk bekerjasama dengan cef luar negara yang ternama. Ia merupakan satu pengiktirafan yang berharga. Saya gunakan peluang ini untuk melestarikan masakan warisan Melayu dan kuih-muih tradisional... Saya ingin melakukan sesuatu untuk memastikan kuih-muih Melayu terpelihara dengan mutunya terjaga sehingga dianggap juadah bermutu warisan Melayu. Kalau kita bersikap sambil lewa terhadap kuih-muih tradisional Melayu, kita akan hilang identiti warisan itu." - Cef Siti Mastura Alwi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg