Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Cef taraf dunia pulang ke gagang, buka restoran di S’pura

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Cef taraf dunia pulang ke gagang, buka restoran di S’pura

Dec 01, 2023 | 05:30 AM



Namanya harum di banyak negara, namun Cef Akmal Anuar, 40 tahun, ingin membawa kemanisan kejayaannya itu pulang ke tanah air dengan membuka sebuah restoran berkonsepkan “makanan Melayu moden dan canggih” di sini.

Restoran Harummanis di 37 Sultan Gate telah dibuka pada 28 November lalu.

Harummanis merupakan nama asli gerai makan ibu-bapanya yang beroperasi sejak 1992, tempat beliau mendapat pendedahan tentang dunia kulinari buat kali pertama.

Gerai makan itu masih wujud di Teck Whye Lane, sementara Harummanis versi Cef Akmal ingin membawa para pelanggannya ke tahap lebih jauh dalam eksperimentasi makanan Melayu yang berkonsepkan pengalaman ‘moden’, sinonim dengan kepakaran kulinari dan caranya yang tersendiri.

Cef Akmal, yang masih berpangkalan di Dubai, menjelaskan bahawa makanan di Restoran Harummanis ini lebih kontemporari dan eksperimental tetapi tidak terlalu pelik dan masih boleh diterima orang ramai.

Pada hari pelancaran tertutup untuk teman-teman dan keluarga terdekat pada baru-baru ini, Cef Akmal berkongsi :

“Setelah mendapat pengalaman dari dalam dan luar negara, kini tiba masanya untuk saya sambung legasi dan perniagaan ibu-bapa saya. Bezanya, saya tidak mahu buat restoran makanan Melayu tradisional.

“Saya ingin komuniti kita menghargai makanan Melayu tetapi bukan cara yang ‘Melayu’. (Kulinari) Melayu pun boleh ke depan, dan (kulinari) Melayu pun boleh jadi moden.”

Restoran Harummanis itu adalah gabungan antara Cef Akmal, kededua orang tuanya – pemilik gerai makan Harummanis iaitu Encik Mohammed Anuar dan Cik Raja Paridah – dan beberapa anggota keluarga rapat yang lain.

Rakan niaga yang merupakan isterinya, Cik Inez Tantyanna, 37 tahun, yang hadir pada malam pelancaran tertutup itu, berkongsi:

“Harummanis ingin menghidupkan suasana santai dengan layanan yang lebih intim dan terperinci, yang kami rasa agak kurang dalam arena makanan dan minuman (F&B) di sini.”

Cef Akmal yang telah menetap di Dubai selama lebih 11 tahun, membuka beberapa restoran dan mengukir nama sebagai cef yang disegani di timur tengah. Antara anugerah yang pernah dimenangi oleh beliau bagi restorannya 11 Wood-fire ialah sebuah Bintang Michelin yang dianggap paling terbilang dalam arena kulinari.


Bintang Michelin diperolehi apabila sebuah restoran menepati lima kriteria universal termasuk kualiti bahan yang digunakan, keharmonian keseluruhan rasa, kepakaran dalam teknik memasak, keunikan dari segi menonjolkan keperibadian cef melalui hidangan dan mutu yang konsisten. Dua restorannya – 11 Wood-fire dan Goldfish, kededuanya di Dubai – turut tersenarai dalam sebuah panduan restoran paling berpengaruh dan disegani dari Perancis, iaitu Gault & Millau 2022.

Restoran-restoran di bawah arahan kreatif Cef Akmal diurus oleh firma konsultasinya sendiri, White Rice & Co, di serata Amiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Goldfish Sushi & Yakitori, 11 Woodfire (Dubai), Otoro (Abu Dhabi) dan Restoran Chie (Sharjah). Selain Harummanis, pasangan itu sudah pun dalam perancangan untuk membuka restoran Italy/Jepun terbaru, Funkcoolio, yang akan dilancarkan pada awal tahun depan.

Restoran Harummanis dibuka pada Selasa hingga Sabtu untuk makan tengah hari dan untuk makan malam, tempahan diterima hanya untuk hari Khamis hingga Sabtu saja. Kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan menjamu di situ untuk memastikan ketenteraman dan pengalaman baik pelanggan.


Seorang pengkaji sejarah makanan, Encik Khir Johari, yang turut diundang pada malam pelancaran tertutup itu, memberi pandangannya:

“Sekarang lebih banyak cef muda yang sedang meneroka warisan mereka. Tetapi budaya makanan tidak pernah statik, ia terlalu dinamik. Kita perlu memberi nafas baru dan interpretasi yang berbeza.

“Ia masih mengekalkan rasa dan bahan-bahan yang dikaitkan dengan masakan Melayu, tetapi teknik dan gabungan telah bertukar, namun ia tetap kekalkan ciri-ciri dan nuansa Melayu.”

Buat masa ini, Cef Akmal berulang-alik ke Dubai dan Singapura untuk memastikan operasi restoran-restorannya di luar negara berjalan lancar.

Beliau merancang berada di Singapura sekurang-kurangnya seminggu dalam sebulan buat masa ini sehingga perniagaan Harummanis stabil dan beliau boleh ‘lepaskan’ kepada ahli keluarga dan kakitangannya.


Isterinya Cik Inez menambah mereka bercita-cita mengembangkan perniagaan dan membawa konsep makanan lain ke sini pada masa depan.


Mengenai itu, Cef Akmal berkata: “Buat masa ini, antara cabaran membuka restoran di Singapura ialah mendapatkan pekerja. Kalau restoran ini sudah stabil, barulah saya fikirkan untuk mengembangkan perniagaan saya lagi.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >