Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CEO Mendaki dilantik Duta S’pura ke Oman

Jun 17, 2025 | 8:04 PM
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah (kiri), menerima watikah pelantikan daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam. Beliau dilantik sebagai Duta Singapura ke Kesultanan Oman (Bukan Pemastautin).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah (kiri), menerima watikah pelantikan daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam. Beliau dilantik sebagai Duta Singapura ke Kesultanan Oman (Bukan Pemastautin). - Foto MDDI

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, telah dilantik sebagai Duta Singapura ke Kesultanan Oman (Bukan Pemastautin), kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 17 Jun.

Pemerintah Singapura turut melantik Encik Wong Kai Jiun, sebagai Duta Singapura ke Republik Korea yang seterusnya, serentak dengan pentauliahan ke Mongolia.

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Pengarah-Jeneral Direktorat Timur Laut Asia di MFA dari 2019 hingga 2024.

Cik Zuraidah menyertai Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 1986 dan memegang pelbagai jawatan penting dalam penyiasatan, operasi dan latihan, sehingga mencapai pangkat Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Polis.

Difahamkan beliau merupakan wanita pertama dilantik dengan pangkat tersebut pada 2013 – antara pangkat tertinggi SPF.

Pada 2015, Cik Zuraidah dipinjamkan ke Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) sebagai Komander Domain (Udara).

Beliau turut dilantik sebagai Jaksa Pendamai pada 2020.

“Sepanjang 34 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebelum bersara pada 2020, Cik Zuraidah telah dianugerahkan pelbagai pingat, terutama Pingat Pentadbiran Awam (Perak) pada 2011, dan Pingat Bakti Masyarakat pada 2019,” kata MFA dalam kenyataan pada 17 Jun.

Beliau juga aktif menyumbang dalam pelbagai lembaga dan jawatankuasa sektor awam, merangkumi bidang pembangunan masyarakat, pendidikan, kesihatan, warisan, keselamatan dan pengangkutan.

Antaranya, Cik Zuraidah telah dilantik sebagai CEO Mendaki pada April 2020, setelah memegang jawatan yang sama dari 2007 hingga 2009.

Beliau berkelulusan ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Sementara itu, Encik Wong menyertai Perkhidmatan Luar Negara Singapura pada 2005 dan di Ibu Pejabat MFA, beliau telah memegang pelbagai jawatan dalam Direktorat Timur Laut Asia.

Ini termasuk sebagai Timbalan Pengarah yang menyelia portfolio China, dan dilantik sebagai Pembantu Khas kepada MFA dari 2014 hingga 2015.

Beliau pernah berkhidmat di Pejabat Perdagangan Singapura di Taipei sebagai Penolong Kanan Wakil Perdagangan dari 2009 hingga 2012; di Kedutaan Singapura di Bangkok selaku Timbalan Ketua Misi dan Kaunselor dari 2016 hingga 2017; dan seterusnya sebagai Timbalan Ketua Misi dan Menteri Kaunselor sehingga 2019.

Encik Wong dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) pada 2016, dan Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (Covid-19) pada 2023.

Beliau merupakan lulusan Universiti Cambridge di United Kingdom dengan ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sarjana Kejuruteraan (Kepujian) pada 2003.

Beliau turut memiliki ijazah Sarjana Dasar Awam Antarabangsa (Kepujian) daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa Lanjut (Sais) di Universiti Johns Hopkins, di Washington DC.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg