KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), Professor Low Teck Seng, akan bersara pada 6 Ogos, dan digantikan oleh timbalannya, Encik Beh Kian Teik.
Profesor Low akan kembali ke Universiti Nasional Singapura (NUS) sebagai Naib Presiden Kanan (Kemampanan dan Daya Tahan) mulai 8 Ogos, kata NRF dalam satu kenyataan semalam.
Beliau, yang telah berkhidmat di NRF selama 10 tahun, pernah menyandang pelbagai jawatan kepimpinan di Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star), Politeknik Republic dan NUS.
Antara sumbangan Professor Low ialah memacu pembangunan dan penerapan tiga pelan penyelidikan, inovasi dan perusahaan (RIE) Singapura bagi 2015, 2020 dan 2025, merangkumi perbelanjaan berjumlah lebih $60 bilion.
Beliau akan menjadi penasihat kepada NRF dan terus menawarkan nasihat berkenaan sains, teknologi dan penyelidikan.
Encik Beh, yang menyandang jawatan timbalan CEO NRF sejak 1 Julai 2020, sebelum itu ialah naib presiden eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).
Beliau mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang penggalakan pelaburan asing langsung (FDI) dan pembinaan industri dalam sektor perkhidmatan perdagangan antarabangsa dan perkilangan.
Sementara itu, NRF akan melantik Timbalan Presiden dan Provost Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Professor Ling Sang, sebagai ketua penasihat saintifik yayasan itu, dan Provost Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Professor Phoon Kok Kwang, sebagai timbalan penasihat saintifiknya mulai 1 Ogos.
Mereka akan mengekalkan jawatan masing-masing di NTU dan SUTD.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg