DENGAN keuntungan kini tidak lagi menjadi keprihatinan utama, akhbar Berita Harian (BH) boleh diperkukuh dengan sumber dan keupayaan agar dapat memberi lebih tumpuan kepada mencapai matlamatnya menjadi antara akhbar berbahasa Melayu terbaik di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara SPH Media Trust, Encik Patrick Daniel, berkata dengan pasaran yang agak terhad, pendapatan pengiklanan akhbar seperti BH juga akan sentiasa kecil.
Justeru, model perniagaan seperti dahulu, dengan syarikat yang menerbitkan BH perlu memenuhi keperluan pemegang saham, tidak sesuai untuk menyokong perkembangan akhbar berbahasa Melayu tunggal di Singapura itu.
"Kita mahukan semua produk kita menjadi produk bertaraf dunia... itulah visi yang ingin kita capai dan (untuk BH) kita memerlukan sedikit sokongan. Dengan sokongan itu, saya yakin kita boleh memenuhi visi tersebut," ujar beliau, sambil menarik perhatian akhbar Tamil Murasu (TM) juga menghadapi cabaran serupa.
Encik Daniel menerangkan, sokongan tersebut adalah dalam bentuk pendanaan oleh pemerintah mahupun kumpulan-kumpulan kedermawanan.
Beliau menekankan, pendanaan sedemikian bukan untuk menampung gaji wartawan. Ia boleh dimanfaatkan bagi program-program tertentu yang ingin dilaksanakan BH seperti program mencakupi lebih ramai pembaca muda dan yang berkaitan dengan memelihara bahasa serta budaya Melayu.
"... jika kita biarkan sahaja (dengan model perniagaan dahulu) saya tidak pasti sama ada di masa depan kita (BH dan TM) dapat mengekalkan keuntungan sekarang dan mungkin akan datang pada suatu hari syarikat mengatakan biar lain pihak yang menerbitkan anda.
"Jadi bagi saya, yang pasti, kita mahu mengekalkan dan mengembangkan akhbar-akhbar vernakular. Kita mahu memberi sokongan penuh kepada semua akhbar kita, dalam semua bahasa. Dan dalam bidang ini, kita boleh mendapatkan bantuan," ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg