“
KETUA pegawai eksekutif (CEO) di sebuah syarikat teknologi yang silap dikenal pasti dan disebar maklumat peribadi tentang dirinya telah mengucapkan terima kasih kepada orang-orang yang membela beliau dan syarikatnya. Cik Tuhina Singh, CEO syarikat keselamatan digital Propine, pada awalnya dikenal pasti pada Selasa (5 Mei) sebagai wanita yang mengaku sebagai "berdaulat". Wanita itu kemudian dikenal pasti sebagai Paramjeet Kaur, 40 tahun, yang telah didakwa melanggar peraturan jarak selamat dan mengganggu ketenteraman awam. Ahli fisioterapi itu dirakam dalam video pada 3 Mei di Shunfu Mart tidak mahu memakai pelitup dan mendakwa dia "berdaulat" dan tidak tertakluk kepada undang-undang di sini. Video tersebut menjadi tular, dan dia ditangkap. Dia telah ditahan reman di Institut Kesihatan Mental untuk dinilai. Di antara penangkapannya pada malam Isnin dan dakwaannya pada petang Selasa, penyebar maklumat (doxxer) telah silap mengenal pasti Cik Singh sebagai wanita yang terlibat. Mereka menyiarkan maklumat peribadinya di dalam talian, termasuk foto dan nama rakan-rakan kerjanya, yang menimbulkan pelbagai komen perkauman dan xenofobia terhadapnya.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg