Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ceongsam kini terap elemen moden bagi tarik lebih ramai pelanggan

Feb 16, 2018 | 5:30 AM
IKUTI PERKEMBANGAN FESYEN: Cik Li yang sedang membetulkan ceongsam yang dipakai model ini telah memperkenalkan elemen moden dalam ceongsam rekaannya sejak lewat 2016 bagi mengikuti peredaran masa dan memenuhi permintaan pelanggan. - Foto-foto BH oleh M.O. SALLEH
IKUTI PERKEMBANGAN FESYEN: Cik Li yang sedang membetulkan ceongsam yang dipakai model ini telah memperkenalkan elemen moden dalam ceongsam rekaannya sejak lewat 2016 bagi mengikuti peredaran masa dan memenuhi permintaan pelanggan. - Foto-foto BH oleh M.O. SALLEH -

Pakaian tradisional seperti ceongsam sering dikaitkan dengan perayaan seperti sambutan Tahun Baru Cina. Namun sejak kebelakangan ini, beberapa pereka ceongsam memberi nafas baru kepada pakaian tradisional itu dengan memperkenalkan potongan lebih moden dan menggunakan pelbagai jenis kain. Ketahui antara usaha yang telah dan sedang dijalankan beberapa pereka ceongsam setempat untuk terus menghidupkan pakaian tradisional itu dengan laporan berikut oleh ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) dan IRMA KAMARUDIN (irmak@sph.com.sg).

ANTARA tradisi Tahun Baru Cina yang masyarakat Cina setempat masih amalkan sehingga kini termasuk memakai baju baru.

Namun kini, tidak ramai wanita Cina di sini yang menjadikan ceongsam sebagai pakaian pilihan mereka bagi menyambut tahun baru itu.

Misalnya bagi Cik Tyris Yar, 29 tahun, beliau tidak suka memakai ceongsam kerana merasakan potongannya tidak sesuai dengan bentuk tubuhnya.

"Saya rasa ia terlalu seksi dan terlalu menunjukkan bentuk badan saya. Lagipun, tidak ramai saudara dan kawan saya pun memakai ceongsam," ujar pembuat kek itu.

Bagaimanapun, keadaan ini mungkin akan berubah pada masa akan datang, dengan pelbagai kedai menjual ceongsam versi moden yang muncul di Singapura kebelakangan ini.

Bagi menggalak lebih ramai orang - khususnya masyarakat Cina - memakai pakaian tradisional itu, pereka ceongsam tradisional di sini juga memperkenalkan elemen moden kepada rekaan mereka.

Ini termasuk menghasilkan ceongsam berpotongan A-Line dan jumpsuit, berbanding potongan tradisional yang biasanya menunjukkan bentuk tubuh si pemakai.

Menurut pemilik kedai Golden Scissor ceongsam, Cik Li Qiying, 51 tahun, beliau mula memperkenalkan elemen moden dalam ceongsam rekaannya sejak lewat 2016 setelah digalak anaknya dan pelanggan tetapnya.

"Saya juga dapati bahawa tidak semua orang suka memakai ceongsam yang ketat dan menunjukkan bentuk tubuh mereka.

"Selepas memerhatikan apa yang dipakai anak muda kini, saya mula eksperimen dengan beberapa rekaan moden," kata ibu dua anak lelaki yang berusia 27 dan 30 tahun itu.

Sejak itu, beliau berkata jumlah pelanggannya meningkat sekitar 20 peratus.

Malah tambahnya, pelanggan lebih muda yang berusia 20an tahun turut bertambah dan mereka membeli ceongsam untuk dipakai sebagai pakaian harian, bukan sahaja untuk acara istimewa.

Golden Scissor ceongsam juga menggunakan Instagram sejak lewat 2016 untuk memuat naik hasil rekaan ceongsam Cik Li. Mereka kini mempunyai lebih 3,400 pengikut di Instagram.

Selain pelanggan Cina warga setempat, Cik Li juga mempunyai pelanggan Melayu dan India, serta dari luar negara termasuk Indonesia, Vietnam dan Amerika Syarikat.

Meskipun Cik Li berasal daripada latar belakang menghasilkan rekaan ceongsam yang tradisional, beliau terbuka menggabungkan elemen moden dengan tradisional dalam rekaannya bagi mengikut peredaran masa dan memenuhi permintaan pelanggan setempat.

Penduduk Tetap (PR) Singapura yang berasal dari China itu membesar dalam keluarga yang sudah lama menjalankan perniagaan ceongsam di China dan beliau mempunyai pengalaman menjahit ceongsam hampir 40 tahun, atau sejak beliau berusia 13 tahun.

Beliau juga pernah membuka kedai di Hongkong sebelum berpindah ke Singapura dan membuka kedainya sekarang di Blok 32 New Market Road di Chinatown, 11 tahun lalu.

Menurut Cik Li, antara ceongsam yang paling popular di kalangan pelanggannya - baik yang tua mahupun yang muda - termasuk ceongsam yang dihasilkan menggunakan kain batik dari Indonesia.

Beliau juga menghasilkan ceongsam berdasarkan permintaan pelanggan seperti golongan ibu menyusu yang inginkan zip di bahagian tepi agar dapat menyusukan bayi mereka dengan mudah.

Meskipun terbuka kepada rekaan moden, Cik Li berkata beberapa elemen asal ceongsam tidak boleh diubah, iaitu kolarnya yang tinggi dan sifatnya yang anggun.

"Saya gembira golongan muda juga terbuka mencuba ceongsam sekarang kerana ini menunjukkan bahawa tradisi ini masih hidup.

"Saya harap orang Cina akan terus memakainya, bukan sahaja semasa Tahun Baru Cina tetapi juga sebagai pakaian harian," ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg