Dalam zaman di mana cerita boleh didapati hanya dengan satu swipe, like dan menerusi video pendek selama 60 saat, satu persoalan dibangkitkan di sesi perbincangan berjudul #beritahudanceritakan #tellandtale: Masihkah penceritaan mampu menyentuh hati apabila segalanya bergerak begitu pantas?
Persoalan itu menjadi tema utama dalam sesi tersebut, satu panel dwibahasa yang diadakan di Muzium Tamadun Asia pada 9 November, sebagai sebahagian program acara belia atau ‘Youth Fringe’ sempena Pesta Penulis Singapura (SWF) 2025.
Menghimpunkan suara daripada dunia media, teater dan podcasting, sesi selama sejam itu membincangkan bagaimana wadah digital mengubah dan pada masa yang sama menghidupkan semula seni bercerita dalam kalangan masyarakat Melayu.
Perbincangan itu dikendalikan Encik Isa Jaffar, pengacara bersama podcast ‘Bora Mic Check’ dan tukang karut kumpulan Andika Kencana.
Antara panelis yang diundang ialah Cik Ervina Mohd Jamil, Penolong Editor Berita (Media Sosial) di Berita Harian; dan Cik Aidli Mosbit, penggiat teater serta Pensyarah Kanan di Politeknik Temasek.
Menjelang penghujung sesi, jawapan mereka jelas: teknologi mungkin mengubah cara cerita disampaikan, namun ia tidak akan mampu menggantikan hati manusia yang kekal menjadi nadi kepada setiap cerita.
Menyorot perubahan ketara dalam corak pembacaan berita, Cik Ervina mengakui masyarakat kini berada dalam era pascateks.
“Jumlah orang yang mendapatkan berita melalui akhbar dan televisyen semakin menurun. Golongan muda kini memperoleh berita mereka melalui TikTok, Instagram atau juga podcast.”
Dengan perubahan itu, BH turut menyesuaikan diri, tambahnya.
Antaranya termasuk memperluas kandungan ke dalam bentuk podcast seperti NoTapis dan Kaki Bola, siaran langsung semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE25) serta video pendek BH Terangkan.
Ini di samping wadah belia BH, OMGxBH yang menggabungkan kandungan dwibahasa bagi mencerminkan cara komunikasi golongan muda hari ini.
“Ini tentang mendekati khalayak di mana mereka berada, tanpa kehilangan identiti kami sendiri,” jelasnya.
Namun, beliau menegaskan agar tidak mengorbankan nilai kewartawanan demi mengejar trend digital nilai.
“Algoritma hanyalah alat, bukan tuan kita. Jika kita hanya mengejar tontonan, kita akan kehilangan makna. Misi kita ialah untuk menghasilkan cerita yang berkhidmat kepada masyarakat, bukan sekadar cerita yang laris,” ujarnya.
Bercakap kepada BH sejurus selepas sesi itu, Cik Ervina menitikberatkan kepentingan mencari keseimbangan.
“Kita tidak boleh takut akan perubahan. Namun sesuatu cerita tetap perlu ada empati, konteks dan kebenaran. Nilai-nilai ini tidak akan lapuk ditelan zaman,” terangnya.
Bagi Cik Aidli, yang telah lama berkecimpung dalam bidang teater dan pendidikan, penceritaan kekal sebagai seni yang hidup biarpun pentasnya kini berbentuk skrin.
“Penceritaan akan sentiasa relevan. Bukan ceritanya yang berubah, tetapi cara kita menyampaikannya. Platform digital memberi kita kebebasan itu,” katanya.
Mengambil media sosial sebagai contoh, ia telah menjadikan penceritaan lebih terbuka kepada pelbagai bentuk – membaca, menonton atau mendengar.
Semasa ditemui BH, Cik Aidli turut mengingatkan agar penggiat seni tidak terpisah daripada nilai kemanusiaan dalam karya mereka.
“Saya tidak melihat dunia digital sebagai ancaman kepada penceritaan. Malah, ia menyediakan wadah yang lebih mesra dan meriah untuk cerita terus berkembang,”
“Jangan takut dengan AI. Ia tidak akan mengambil alih kerja anda kerana anda manusia. Kemanusiaan andalah yang menghasilkan karya berkualiti,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg