Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Certis ambil 29 pekerja kurang upaya pada Ogos

Dec 2, 2024 | 1:59 PM
Pembantu perkhidmatan perpustakaan, Encik K. R. Teh (kiri) dan Cik Yeo Hui Qing (kanan), bersama penyelia mereka, Encik Muhammad Iqbal Buang. Kedua-dua individu yang menghidap autisme itu adalah antara 29 individu kurang upaya yang diambil bekerja oleh Certis pada Ogos. 
Pembantu perkhidmatan perpustakaan, Encik K. R. Teh (kiri) dan Cik Yeo Hui Qing (kanan), bersama penyelia mereka, Encik Muhammad Iqbal Buang. Kedua-dua individu yang menghidap autisme itu adalah antara 29 individu kurang upaya yang diambil bekerja oleh Certis pada Ogos.  - Foto ST

Cik Yeo Hui Qing dan Encik K. R. Teh bekerja sebagai pembantu perkhidmatan perpustakaan di Perpustakaan Rujukan Lee Kong Chian (LKCRL).

Tugas mereka termasuk menyusun buku dan membantu pengunjung mencari buku rujukan.

Cik Yeo, 29 tahun, dan Encik Teh, 30 tahun, telah mendapat pekerjaan di Perpustakaan Negara Singapura di Victoria Street itu melalui syarikat perkhidmatan keselamatan, Certis, pada Ogos.

Kedua-dua individu yang menghidap autisme itu adalah antara 29 individu kurang upaya yang telah diambil bekerja oleh Certis pada Ogos. 

Syarikat itu pada mulanya hanya mengambil dua kakitangan kurang upaya pada 2020 dan kini sudah memperluaskannya kepada 66 individu berkeperluan khas.

Timbalan Ketua Eksekutif Certis, Encik Lee Hock Heng, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa syarikat mereka sentiasa mencari jalan untuk menyokong pengambilan golongan kurang upaya dalam alam pekerjaan – sama ada di dalam organisasi mereka mahupun syarikat rakan kongsinya yang lain.

“Apa yang sama penting ialah memupuk budaya empati dan pemahaman, disebabkan itu kami melatih kakitangan kami untuk bekerja secara terangkum dan menyokong rakan kerja kurang upaya,” katanya.

Langkah Certis memperluas pengambilan pekerja inklusif selaras dengan inisiatif nasional, Pelan Induk Pemerkasaan 2030, di mana pemerintah dan masyarakat bekerjasama menyokong golongan kurang upaya.

Kadar pekerjaan bagi individu kurang upaya berusia 15 hingga 64 tahun adalah 30.1 peratus pada 2020 hingga 2021. 

Pelan Induk itu bertujuan meningkatkan kadar tersebut kepada 40 peratus menjelang 2030 – tambahan 4,500 individu kurang upaya dijangka memasuki alam pekerjaan pada masa itu.

Pada Ogos, Certis bekerjasama dengan Pusat Sumber Autisme Singapura (Arcs) untuk mengambil golongan autisme bekerja.

Naib Presiden Kanan Certis, Encik Robin Goh, berkata:

“Kami percaya bahawa keterangkuman bukan sekadar tanggungjawab, tetapi teras kepada tujuan kami di Certis. 

“Selepas 66 tahun, kami telah berkembang melangkaui asas kami sebagai firma keselamatan dengan menawarkan pelbagai penyelesaian – termasuk teknologi operasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), pengurusan kemudahan dan perkhidmatan pengurusan sumber tenaga seperti pengambilan pekerja,” 

Daripada 66 individu kurang upaya yang diambil, 47 bekerja di bawah perkhidmatan sumber luar Certis, manakala baki 19 bertugas dalam bidang logistik dan pengurusan kemudahan, termasuk di pusat pemprosesan wang dan sokongan teknologi maklumat (IT).

Seramai 29 pekerja baru dengan autisme ditempatkan di LKCRL dan satu lokasi kerja khas di Enabling Village, di mana kemahiran dan kekuatan mereka dapat dimanfaatkan dengan baik.

Ciri seperti pencahayaan malap dan suasana tenang dalam perpustakaan menjadikannya tempat ideal bagi individu yang menghidap autisme untuk bekerja dengan selesa. 

Encik Teh berkata mengenai tugasnya di perpustakaan rujukan, yang hanya menggaji individu kurang upaya:

“Melalui tugas penghantaran, saya dapat berjalan-jalan di luar perpustakaan.

“Untuk tugas buku baru, saya dapat melihat buku-buku tersebut sebelum orang lain.

“Manakala untuk tugas penyusunan koleksi rujukan, saya berpeluang melihat buku-buku lama yang jarang dijumpai.”

Menurut Cik Yeo, beliau seronok bekerja di perpustakaan kerana rakan sekerjanya amat membantu, terutama apabila beliau memerlukan bantuan menyusun buku di rak tinggi atau mengangkat barangan berat.

Encik Muhammad Iqbal Buang, 32 tahun, yang ditugaskan sebagai penyelia lokasi bagi Encik Teh dan Cik Yeo, berkata:

“Saya rasa terharu melihat interaksi antara kakitangan (kami) dengan orang awam, dan saya yakin kehadiran lebih ramai individu kurang upaya dalam pekerjaan biasa akan memberi impak besar dalam meningkatkan keterangkuman dalam masyarakat kita.”

“Malah, saya juga belajar daripada mereka... Saya dapat memahami isyarat sosial mereka, mengenal pasti perubahan dalam tingkah laku atau nada suara kerana mereka jarang menggunakan kata-kata untuk mengekspresi diri mereka,” tambah Encik Iqbal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg