Gaji yang dibayar kepada pemegang jawatan politik merangkumi dua bahagian – iaitu sekitar 65 peratus merupakan komponen tetap manakala baki 35 peratus adalah komponen berubah-ubah, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.

Komponen tetap itu terdiri daripada gaji bulanan dan juga tambahan gaji tahunan (AWS), atau lebih dikenali sebagai bonus bulan ke-13.

Sementara itu, komponen berubah-ubah pula terdiri daripada tiga bahagian – bonus nasional, komponen berubah-ubah tahunan (AVC) berdasarkan prestasi ekonomi Singapura dan bonus prestasi.

Justeru, komponen gaji berubah-ubah itu membentuk sebahagian daripada pendapatan tahunan penuh pemegang jawatan politik dan bukan tambahan di atasnya, kata Encik Chan.

Lazimnya, seorang menteri peringkat permulaan akan mendapat bonus prestasi sebanyak tiga bulan, bonus nasional sebanyak tiga bulan, dan komponen berubah-ubah tahunan selama sebulan – yang merupakan sebahagian daripada gaji tahunan biasa sekitar $1.1 juta.

Beliau menjelaskan struktur pendapatan itu semasa menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen pada 8 September sebagai sebahagian daripada respons pemerintah kepada semakan gaji 2026 bagi pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen (AP).

Pada hari tersebut, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa menyampaikan kenyataan menteri, berkata pemerintah menerima saranan jawatankuasa yang telah ditubuhkan pada Disember 2025 untuk menyemak gaji politik.

Ini termasuk kemas kini terhadap tanda aras MR4 – iaitu titik rujukan gaji yang digunakan untuk menentukan pendapatan menteri peringkat permulaan – daripada $1.1 juta kepada $1.8 juta.

“Gaji yang dibayar kepada pemegang jawatan politik merangkumi kedua-dua komponen gaji tetap dan berubah-ubah dengan agihan kira-kira 65:35,” kata Encik Chan, yang juga Menteri Pertahanan.

“Langkah ini memastikan gaji kekal telus dan berdisiplin, di samping memastikan prestasi serta hasil pencapaian terus diberi keutamaan.

“Komponen gaji berubah-ubah, yang merupakan sebahagian daripada (bukan tambahan kepada) jumlah gaji tahunan, dibayar bergantung pada kedua-dua prestasi individu serta hasil pencapaian negara berdasarkan rangka kerja bonus nasional,” tambah beliau.

Menjelaskan lanjut struktur bonus nasional, Encik Chan berkata bonus tersebut bernilai antara 0 dengan 6 bulan gaji dan jumlahnya bergantung kepada empat petunjuk yang paling penting bagi rakyat Singapura – sama ada rakyat memiliki pekerjaan, sama ada pendapatan meningkat, terutamanya bagi golongan bergaji pertengahan dan rendah, serta sama ada ekonomi berkembang.

Encik Chan berkata pemerintah akan memperketatkan sasaran semua petunjuk sosioekonomi itu.

Bagi kadar pengangguran, sasaran akan diperketat daripada 4 peratus hingga bawah 4.5 peratus, kepada 3 peratus hingga bawah 3.5 peratus.

Bagi kadar pertumbuhan pendapatan sebenar untuk golongan berpendapatan pertengahan, ia akan diperketat daripada 2 peratus hingga bawah 3 peratus, kepada 2.5 peratus hingga bawah 3.5 peratus.

Bagi golongan berpendapatan rendah pula, ia akan diperketat daripada 2 peratus hingga bawah 3 peratus, kepada 3 peratus hingga bawah 4 peratus.

Bagi kadar pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebenar, julat sasaran akan dikemas kini daripada 3 peratus hingga 5 peratus, kepada 2 peratus hingga 4 peratus.

“Sepanjang tempoh sedekad yang lalu, kadar pertumbuhan purata kita adalah sekitar 2.6 peratus.

“Kita telah melalui beberapa tahun yang bertuah baru-baru ini, dan MTI telah menaikkan unjuran pertumbuhan kepada 4.5 peratus hingga 5.5 peratus untuk tahun ini, mencerminkan prestasi ekonomi kita yang kukuh.

“Namun, unjuran kita menunjukkan bahawa bagi ekonomi kita yang semakin matang, tahun-tahun ini merupakan satu pengecualian dan bukannya norma biasa,” kata Encik Chan.