Topik diikuti
Pergi ke BHkuChee Meng: Kepentingan pekerja terus diberi keutamaan
Chee Meng: Kepentingan pekerja terus diberi keutamaan
GERAKAN pekerja akan memperjuangkan kepentingan pekerja termasuk golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) serta pekerja sambilan serta wanita yang kembali ke alam pekerjaan.
Ini ditegaskan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, semalam.
Beliau berkata demikian di sesi perbincangan warga anjuran Ngee Ann Kongsi dan Institut Pengajian Dasar (IPS) mengenai ketahanan pekerjaan yang berlangsung di Institut Devan Nair bagi Pekerjaan dan Daya Kerja semalam.
Dalam ucapannya, Encik Ng menegaskan betapa penting NTUC menyusun strategi penglibatan mereka dalam kompak sosial Singapura bagi memastikan NTUC dapat melakukan yang terbaik untuk warga Singapura.
Encik Ng turut membentangkan komitmen dan strategi NTUC untuk memberi bantuan di peringkat nasional, perindustrian dan individu.
"Di peringkat nasional, NTUC akan menyelaraskan usaha supaya ia sejajar dengan strategi pemerintah untuk membina ekonomi yang kukuh agar warga Singapura boleh meraih lebih banyak manfaat."
Pekerja perlu lebih proaktif agar kekal relevan
Encik Ng menambah bahawa di peringkat perindustrian, NTUC menyusun strategi bersama kesatuan sekerja mereka dalam bidang yang penting bagi para pekerja dari segi gaji, kebajikan dan prospek kerja yang lebih baik.
Ini dilakukan menerusi pembentukan Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) yang menggabungkan kepentingan majikan dan pekerjaan.
"CTC adalah inti pati perkongsian antara pengurusan dan pemimpin kesatuan untuk mereka bentuk pekerjaan yang baik, tingkat kemahiran serta latihan yang diperlukan untuk dipadankan dengan pekerjaan tersebut," kata beliau.
Encik Ng berkata NTUC ingin memainkan peranan bagi menyokong perjalanan kerjaya setiap individu.
Beliau menekankan betapa pentingnya bagi pekerja untuk memberi pandangan mereka mengenai kebimbangan dan aspirasi mereka serta bagaimana gerakan pekerja boleh perbaiki cara mereka.
"Pandangan dan perkongsian daripada para pekerja akan membolehkan kami memperjuangkan dan menyokong para pekerja bagi memastikan strategi pekerja untuk masa depan boleh berfungsi," kata beliau lagi.
Turut menghadiri sesi itu semalam adalah Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang menekankan betapa penting untuk warga Singapura bersikap lebih proaktif.
"Warga Singapura tidak seharusnya menunggu sehingga mereka menghadapi risiko pengangguran untuk mula membangunkan "tabiat sihat".
"Anda perlu merancang lebih awal, matlamat kerjaya anda di sekeliling keperluan dan minat anda dan terus mengambil langkah-langkah memastikan anda bukan hanya memenuhi matlamat ini, tetapi melebihi matlamat ini," kata beliau.
Beliau menambah bahawa masyarakat dan persekitaran dimana mereka bekerja telah berubah dengan pantas.
"Kini, kita hadapi gangguan baru, teknologi baru dan pendigitalan yang semuanya telah dipercepatkan akibat pandemik.
"Ini telah mewujudkan banyak pekerjaan baru dan memberi perubahan kepada pekerjaan sedia," kata beliau.
Dr Tan menekankan bahawa kesihatan kerjaya dan ketahanan pekerjaan adalah penting bagi semua pekerja.
"Dalam dunia yang semakin tidak menentu, risiko perpindahan dan pengangguran adalah sangat nyata.
"Oleh itu, orang ramai perlu mengambil langkah proaktif dan mendapatkan pemahaman tentang bagaimana trend global dan industri telah berkembang agar mereka terus kekal relevan," ujar beliau.
