SETIAUSAHA Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, berkata peluasan Skim Sokongan Pekerjaan (JSS) yang diumumkan hari ini (17 Ogos) akan meringankan beban sektor paling teruk terjejas oleh pandemik Covid-19, termasuk sektor penerbangan, aeroangkasa dan pelancongan.

"Rakan kerja pengurusan dan pemimpin kesatuan telah berkongsi dengan saya bahawa kos merupakan kerisauan terbesar mereka dalam hal memelihara pekerjaan.

"Peluasan JSS yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat awal hari ini akan meringankan beban, terutama bagi sektor paling teruk seperti sektor aeroangkasa, penerbangan dan pelancongan," kata Encik Ng.

Dalam catatan di Facebook, Encik Ng menambah beliau gembira pemerintah telah mendengar maklum balas awam dan akan menyediakan bantuan kepada pekerja bergaji rendah.

Ini dilakukan menerusi peluasan Bayaran Khas Pekerja di mana pekerja yang paling teruk terjejas oleh Covid-19 boleh menerima manfaat.

"Memperbaiki kehiduapan pekerja bergaji rendah ialah keutamaan bagi NTUC Singapura dan kami akan terus menggalakkan kemahiran dan gaji lebih baik melalui Model Gaji Progresif.

"Peluasan Geran Sokongan Covid-19 juga akan membantu pekerja kita dalam masa sukar ini," tulis Encik Ng.