Buat julung-julung kalinya dalam sejarah 21 tahun, acara ChildAid diadakan di luar dewan konsert, di tengah-tengah Kawasan Pusat Bandar (CBD), sekali gus menarik perhatian orang ramai dan pekerja pejabat di atrium UOB Plaza pada 13 November. 

Dianjurkan oleh The Straits Times (ST) dan The Business Times (BT), acara amal tahunan ini telah mengumpul $2,313,000. Jumlah itu termasuk derma yang dibuat sebelum acara serta melalui kempen derma berterusan di Giving.sg.

Dana yang dikumpul sepanjang festival dua hari pada 13 dan 14 November itu akan ditambah kepada jumlah keseluruhan pada penghujung acara, dengan hasilnya disalurkan kepada Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (STSPMF) dan Dana Seniman Muda BT (BTBAF).

Penderma termasuk UOB, yang turut menjadi penaja tempat acara, Musim Mas Foundation, estet milik Encik Lim Chin Hua, serta keluarga Choo, sempena mengenang mendiang Encik Choo Lye Heng dan Cik Lim Swee Hiang.

Pengerusi UOB Foundation, Cik Janet Young, berkata:

“Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk mencapai potensi diri, mengejar impian dan percaya bahawa tiada yang mustahil.

“Dengan membawa ChildAid ke UOB Plaza Atrium buat kali pertama, kami berharap semangat memberi ini dapat dilihat dengan lebih jelas dan merangkumi lebih ramai golongan.

“Pada masa sama, kita dapat meraikan keyakinan dan kreativiti bakat muda kita, dan menggalakkan lebih ramai orang menyumbang demi membina masa depan lebih baik buat setiap kanak-kanak,” tambahnya.

Bertema, ChildAid 2026 Festival: Open Stage, edisi kali ini tampil dengan format berbeza daripada acara kutipan dana sebelum ini yang lazimnya diadakan sebagai konsert bertiket dan berkerusi. 

Sebaliknya, penonton boleh bersantai di tempat duduk bergaya piknik sambil menyaksikan lebih 133 artis dalam 44 persembahan muzik, tarian dan teater sepanjang dua hari.

Antara penonton ialah 40 orang pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Pendidikan, Encik David Neo, yang menjadi tetamu kehormat, tiba pada 12.45 tengah hari, 13 November.

Encik Neo turut menyampaikan tanda penghargaan kepada penderma acara itu dan menerima Rooted, lukisan asli karya Toh Jia Ming, seorang pelajar yang dibantu oleh BTBAF.

Beliau kemudian merasmikan pembukaan festival dengan meletakkan ‘clicker’ atau alat mengetik pertama di ‘Clicker Wall’.

Pengunjung juga boleh menambah ‘clicker’ masing-masing, yang dijual pada harga $2 hingga $10 bergantung pada saiznya, dengan semua hasil jualan disumbangkan kepada ChildAid.

Sejak ditubuhkan pada 2005, ChildAid telah mengumpul lebih $32 juta buat kedua-dua badan amal itu.

Festival itu akan diteruskan pada 14 November dari 11 pagi hingga 8 malam di UOB Atrium, 80 Raffles Place. Masuk adalah percuma.

Orang ramai boleh menyumbang derma di str.sg/CA2026 atau melalui kod QR PayNow di tapak acara.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti