CHINATOWN Complex ditutup kepada orang awam dari 3 petang semalam hingga 11.59 malam lusa, setelah Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan 66 kes Covid-19 berkaitan kelompok di situ.
Kelmarin, Singapura mencatat 555 kes baru Covid-19, termasuk 486 kes dalam masyarakat dan 64 penghuni dormitori pekerja migran. Baki lima adalah kes import.
Daripada 66 kes yang ada kaitan dengan kelompok Chinatown Complex, 63 kes bekerja di situ. Mereka terdiri daripada 58 pegerai dan pembantu gerai, empat pekerja pembersihan dan seorang duta jarak selamat.
Baki tiga ialah isi rumah kes yang dijangkiti.
Semua kakitangan yang bekerja di Chinatown Complex sedang diuji bagi Covid-19, kata MOH.
Bagi membendung kelompok itu dengan cepat, orang ramai yang mendaftar daftar masuk menggunakan SafeEntry ke Chinatown Complex dari 8 September hingga 11 September akan diberi Kewaspadaan Risiko Kesihatan (HRA).
MOH berkata: "Mereka sangat digalak menjalani ujian reaksi rantai polimerase (PCR) secepat mungkin dan mengurangkan interaksi sosial mereka selama 14 hari."
Kementerian itu juga menawarkan ujian Covid-19 percuma kepada orang ramai yang telah mengunjungi Chinatown Complex antara 8 September dengan 11 September, tetapi tidak menerima kewaspadaan itu. Mereka boleh merujuk ke laman web MOH untuk mendapatkan maklumat mengenai operasi ujian.
Dalam kalangan jangkitan baru yang dilaporkan kelmarin, tiga kes ditambah ke kelompok PCF Sparkletots Braddell Heights, menjadikan kelompok itu berjumlah 22. MOH melaporkan penularan dalam kalangan pelajar dalam kelas yang sama, dengan penyebaran lanjut kepada isi rumah kes tersebut.
Terdapat juga 31 kes baru yang ditambah ke kelompok yang ada kaitan dengan kakitangan di enam pusat tukaran bas di Punggol, Toa Payoh, Tampines, Boon Lay, Clementi dan Jurong East.
Kes di enam pusat tukaran bas itu berjumlah 606.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg