Topik diikuti
Pergi ke BHkuChun Sing: 8 penjawat awam dirujuk kepada polis dalam isu transaksi hartanah dekat stesen MRT yang belum diumumkan
Chun Sing: 8 penjawat awam dirujuk kepada polis dalam isu transaksi hartanah dekat stesen MRT yang belum diumumkan
Chun Sing: 8 penjawat awam dirujuk kepada polis dalam isu transaksi hartanah dekat stesen MRT yang belum diumumkan
Lapan pegawai perkhidmatan awam telah dirujuk kepada polis di tengah-tengah semakan pemerintah terhadap transaksi hartanah berhampiran stesen MRT yang belum diumumkan oleh penjawat awam, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.
Pegawai berkenaan dikenal pasti dalam siasatan Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) terhadap pegawai di agensi-agensi yang terlibat dalam perancangan laluan kereta api dan telah membuat pembelian hartanah antara 2007 dengan 2014 berdekatan lokasi yang kemudiannya diumumkan sebagai stesen MRT.
Menjawab soalan para Anggota Parlimen (AP) di Parlimen pada 6 Oktober, Encik Chan berkata bahawa perkara ini mungkin disebabkan oleh keadaan khusus di sebalik pembelian tersebut, atau kerana perkhidmatan awam pada masa ini tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk mengecualikan kes-kes berkenaan daripada semakan lanjut.
“Kami telah merujuk kes-kes ini kepada pihak polis.
“Biar saya tegaskan bahawa rujukan tidak bermakna salah laku telah terbukti berlaku.
“Polis akan meneliti fakta-fakta kes secara bebas, dan proses undang-undang yang sewajarnya akan diikuti,” kata beliau.
Kes tersebut kali pertama mendapat perhatian menyusuli penerbitan kertas penyelidikan yang oleh sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan berpangkalan di Amerika Syarikat, yang mendakwa penjawat awam di Singapura membeli rumah pada kadar tidak seimbang di kawasan berhampiran stesen MRT yang belum diumumkan kepada orang ramai.
Pada 25 September, PSD telah menyatakan bahawa pemerintah sedang menjalankan penelitian untuk menilai sama ada wujud salah laku sebenar yang membabitkan penjawat awam yang terlibat, dan sedang dalam proses mengenal pasti pembelian hartanah yang dibuat dalam tempoh antara 2007 dengan 2011.
Encik Chan berkata PSD telah memeriksa rekod sedia ada bagi setiap transaksi pembelian.
Ini termasuk peranan pegawai itu pada ketika itu, sama ada pegawai itu mempunyai akses kepada maklumat tidak tersedia untuk umum yang relevan, masa dan keadaan transaksi itu, serta maklumat relevan lain yang sedia ada kepada PSD.
Melalui proses tersebut, pemerintah menyemak transaksi hartanah yang dibuat oleh 191 pegawai, dan pemeriksaan lanjut masih dijalankan, tambah beliau.
Encik Chan menekankan bahawa prinsip asas bagi pegawai perkhidmatan awam adalah jelas – bahawa mereka tidak boleh sama sekali menggunakan maklumat yang diperolehi melalui tugas rasmi mereka untuk memajukan kepentingan peribadi sendiri atau pihak lain.
“Ini ditetapkan dalam kod kelakuan perkhidmatan awam,” kata beliau.
Bergantung pada keadaan, penggunaan atau pendedahan maklumat rasmi tanpa kebenaran juga boleh menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang, kata Encik Chan.
Terdapat beberapa lapisan perlindungan, tambah beliau.
Akses kepada maklumat sensitif dikawal dan pegawai diberi akses atas dasar “perlu tahu”.
Maklumat seumpama itu tertakluk kepada klasifikasi keselamatan dan syarat pengendalian, kawalan akses sistem dan fizikal, serta di mana sesuai, pemantauan audit dan langkah perlindungan khusus projek, kata beliau.
Selain itu, terdapat syarat pengisytiharan dan kelulusan yang mengawal kepentingan serta transaksi peribadi para pegawai.
Sejak tahun 1990-an, semua pegawai diwajibkan untuk mengisytiharkan pembelian hartanah peribadi serta mengisytiharkan secara tahunan mana-mana hartanah milik mereka yang tidak diduduki sendiri, kata beliau.
Syarat tersebut telah diperketatkan secara berperingkat sejak beberapa tahun lalu, tambah beliau.
“Hari ini, sekiranya seorang pegawai mempunyai maklumat tidak tersedia untuk umum yang relevan dengan sebarang transaksi yang ingin dilakukannya, pegawai tersebut mesti mendapatkan kelulusan daripada ketua agensi sebelum meneruskannya.
“Ini tidak terhad kepada transaksi hartanah sahaja; ia turut terpakai bagi transaksi peribadi lain di mana pegawai berkenaan memiliki maklumat tidak tersedia untuk umum yang berkaitan.
“Syarat ini juga merangkumi transaksi yang melibatkan pasangan pegawai, serta anak-anak yang di bawah tanggungan kewangan mereka,” kata Encik Chan.
Secara lebih luas, pegawai juga tidak boleh menyebarkan maklumat tidak tersedia untuk umum kepada saudara-mara, rakan-rakan, atau mana-mana individu lain untuk tujuan peribadi, dengan perbuatan sedemikian bukan sahaja melanggar peraturan yang ditetapkan, malah boleh membentuk satu kesalahan di bawah undang-undang.
Di samping itu, agensi yang mengendalikan maklumat yang amat sensitif boleh melaksanakan syarat-syarat tambahan mengikut risiko yang terlibat.
Selain itu, terdapat saluran yang membolehkan pegawai melaporkan salah laku yang disyaki kepada penyelia, sumber manusia (HR) atau ketua agensi mereka.
Encik Chan berkata pemerintah akan bertindak dengan tegas sekiranya kesalahan terbukti berlaku.
Pemerintah juga akan mengambil iktibar daripada episod tersebut.
“Sekiranya semakan atau siasatan lanjut mendedahkan sebarang kelonggaran dalam langkah perlindungan, kami akan memperkukuhkannya.
“Inilah caranya untuk kita terus mempertahankan piawaian integriti yang tinggi yang diharapkan daripada perkhidmatan awam Singapura, serta mengekalkan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Singapura kepada kami,” kata beliau.
Integriti perkhidmatan awam serta kepercayaan orang ramai terhadapnya adalah perkara asas, tambah beliau.
Oleh itu, pemerintah memandang serius dakwaan penyalahgunaan maklumat rasmi, namun ia juga mesti bertindak berasaskan bukti dan proses undang-undang yang sewajarnya, kata beliau.
“Oleh sebab itu, kami telah meneliti transaksi sebenar pegawai yang terlibat serta rekod yang sedia ada.
“Sekiranya fakta menunjukkan wujudnya asas yang meragukan, kami akan merujuk perkara tersebut kepada pihak berkuasa yang sewajarnya,” kata beliau.