MENTERI Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, akan membuat lawatan kerja ke Kuala Lumpur, Malaysia hari ini dalam kapasitinya sebagai Presiden Majlis Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).

Semasa lawatannya, Encik Chan akan bertemu Menteri Kanan Pendidikan Malaysia, Dr Radzi Jidin, dan anggota Kabinet yang lain, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (MOE) semalam.

Beliau juga akan melawat Pusat Perubatan Tropikal SEAMEO yang mempunyai pengkhususan dalam mikrobiologi, parasitologi dan entomologi, untuk mengetahui lebih lanjut tentang sumbangannya kepada sains dan pendidikan di Asia Tenggara.

Encik Chan akan disertai pegawai dari MOE serta Pengarah Sekretariat SEAMEO, Dr Ethel Valenzuela, bagi lawatan berkaitan SEAMEO.

Ditubuhkan pada 1965, SEAMEO bertujuan menggalak kerjasama antara negara-negara Asia Tenggara melalui pendidikan, sains dan budaya.

Selain Singapura, SEAMEO turut disertai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Timor Leste dan Vietnam.

Singapura menjadi presiden Majlis SEAMEO pada 2021 bagi tempoh dua tahun.