Chun Sing: Gaji menteri dibeku sejak 2012, pendapatan rakyat melonjak 80%
Chun Sing: Gaji menteri dibeku sejak 2012, pendapatan rakyat melonjak 80%
Menteri peringkat permulaan terima gaji tahunan $1.1j, 40% lebih rendah daripada penanda aras pasaran 2012
Gaji menteri kekal dibekukan pada paras tahun 2012, meskipun pendapatan median rakyat Singapura meningkat sebanyak 80 peratus dalam tempoh yang sama, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, pada 4 Februari.
Pendapatan rakyat Singapura dalam kumpulan persentil ke-20 meningkat dengan lebih ketara, tambah beliau, iaitu naik 87 peratus sejak semakan gaji terakhir bagi pemegang jawatan politik.
Encik Chan, yang juga Menteri Pertahanan, menjawab soalan AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Cik Eileen Chong, yang meminta data mengenai gaji pemegang jawatan politik dari 2018 hingga 2024 serta perbandingannya dengan pendapatan isi rumah median dan persentil ke-90 dalam tempoh yang sama.
Dalam jawapannya, Encik Chan berkata: “Memandangkan isu yang dibincangkan berkaitan gaji individu pemegang jawatan politik, perbandingan yang lebih sesuai adalah dengan pendapatan individu.”
Seorang menteri peringkat permulaan menerima gaji tahunan sebanyak $1.1 juta, yang mewakili potongan sebanyak 40 peratus berbanding penanda aras pasaran yang ditetapkan pada 2012.
Tahap gaji bagi pemegang jawatan politik yang lain pula ditetapkan berpandukan nisbah tetap kepada gaji tahunan menteri peringkat permulaan.
Gaji tahunan tersebut merangkumi komponen bayaran tetap, iaitu gaji bulanan dan elaun tahunan bulan ke-13 yang tidak berpencen, yang merangkumi 65 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Baki 35 peratus terdiri daripada bayaran berubah yang dikaitkan dengan penunjuk ekonomi negara dan prestasi individu.
Bayaran berubah itu termasuk bonus nasional yang ditentukan berdasarkan empat penunjuk sosioekonomi iaitu pertumbuhan pendapatan median sebenar, pertumbuhan pendapatan sebenar bagi kumpulan 20 peratus terendah, kadar pengangguran dan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebenar.
Bonus tiga bulan akan dibayar jika sasaran dicapai, atau sehingga enam bulan jika prestasi jauh mengatasi sasaran.
Tiada bonus dibayar sekiranya sasaran tidak dicapai.
Komponen bayaran berubah tahunan yang sama bagi semua penjawat awam adalah antara sifar dengan 1.5 bulan dari tahun 2018 hingga 2024.
Bonus prestasi individu, yang ditentukan oleh Perdana Menteri, boleh mencecah antara sifar dengan enam bulan setahun.
Rangka kerja gaji semasa ditetapkan susulan semakan pada 2012 dan dilaksanakan mulai 2011, jelas Encik Chan.
Walaupun jawatankuasa kemudiannya ditubuhkan pada 2017 untuk mengkaji rangka kerja tersebut, pemerintah memutuskan untuk tidak membuat sebarang perubahan kerana ekonomi ketika itu sedang melalui fasa peralihan.
Pemerintah kini telah melantik sebuah jawatankuasa bebas untuk mengkaji dan mengesyorkan gaji yang sesuai serta cadangan untuk memperhalus kerangka kerja tersebut.
Jawatankuasa itu akan mengemukakan laporannya apabila siap.
Parlimen akan dimaklumkan selepas itu, kata Encik Chan.

