Topik diikuti
Pergi ke BHkuChun Sing: Perkhidmatan awam perlu tingkatkan persefahaman pelbagai golongan demi matlamat bersama
Chun Sing: Perkhidmatan awam perlu tingkatkan persefahaman pelbagai golongan demi matlamat bersama
Chun Sing: Perkhidmatan awam perlu tingkatkan persefahaman pelbagai golongan demi matlamat bersama
Perkhidmatan awam perlu meningkatkan persefahaman antara pelbagai golongan demi mencapai matlamat bersama, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing pada 18 September.
Pegawai perlu mendengar dengan ikhlas untuk memahami kepentingan berbeza dan menjelaskan setiap pilihan secara jujur, kata beliau kepada pemimpin perkhidmatan awam yang baru dilantik.
Ini membantu mereka beralih daripada menyediakan ‘penyelesaian buat rakyat’ kepada mencari ‘penyelesaian bersama rakyat’.
Merujuk perbahasan mengenai pembangunan semula Hutan Maju dan Gillman Barracks, Encik Chan berkata setiap orang mempunyai pendirian sendiri, tetapi kesepakatan perlu dicapai berdasarkan pertimbangan menyeluruh, termasuk keperluan perumahan, penggunaan tanah, tenaga, pengangkutan dan perancangan kumbahan.
Cadangan pembangunan perumahan awam di kedua-dua kawasan itu mencetuskan perbincangan mengenai kesannya terhadap alam sekitar sebelum pihak berkuasa mengumumkan rancangan untuk mengekalkan lebih banyak kawasan hijau.
Encik Chan berkata penjawat awam tidak sekadar perlu mencapai persetujuan dalam isu tertentu, tetapi menyatukan pelbagai golongan berlandaskan matlamat dan wawasan kejayaan bersama.
Menyatukan sudut pandangan dan keupayaan dalam tindakan bersama, katanya, merupakan satu daripada tiga cara perkhidmatan awam perlu menghadapi dunia yang semakin rumit dan dipertikaikan.
Berucap kepada kira-kira 800 penjawat awam pada Majlis Kepimpinan Perkhidmatan Awam Tahunan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, Encik Chan berkata tuntutan kepimpinan kini berubah.
“Kita perlu jelas tentang kemampuan perkhidmatan awam. Kita tidak perlu memiliki setiap jawapan atau keupayaan,” katanya.
Perkhidmatan awam perlu mengenal pasti keupayaan utamanya, menentukan peranan yang lebih sesuai dilaksanakan pihak lain dan menyatukan rakyat, masyarakat, perniagaan serta pemerintah ke arah matlamat bersama.
Encik Chan turut menggesa penjawat awam menjalin perkongsian dua hala dan pelbagai hala baharu bagi mewujudkan “ruang strategik” untuk Singapura serta terus peka terhadap perkembangan serantau dan dunia.
Encik Chan, yang juga Menteri Pertahanan, berkata persaingan kuasa besar kini merangkumi perdagangan, teknologi, rantaian bekalan dan ruang maklumat, manakala cabaran dalam negeri termasuk kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap tenaga kerja, penuaan penduduk dan keperluan mengekalkan pertumbuhan ekonomi.
Apabila pendekatan semasa tidak lagi berkesan, perkhidmatan awam perlu merangka pendekatan baharu, tambah Encik Chan.
Encik Chan memetik Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital (Depa) serta hubungan dengan Australia dan New Zealand.
Beliau menambah: “Perkongsian ini bukan sekadar demi kemudahan, tetapi usaha terancang untuk membuka ruang kerjasama dan memajukan kepentingan bersama.”
Peranan Singapura sebagai Pengerusi Asean pada 2027 juga akan membuka peluang untuk memperkukuh Asean.
Oleh itu, pemimpin perkhidmatan awam perlu memperluas pendedahan antarabangsa secara terancang, tambahnya.
Encik Chan turut menggesa pembangunan keupayaan tersendiri yang memastikan Singapura kekal relevan.
Beliau memetik ekosistem semikonduktor negara, yang menghasilkan satu daripada setiap 10 cip dan satu perlima peralatan semikonduktor dunia setiap tahun.
Perkhidmatan awam juga perlu memperbaharui cara pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan. ServiceSG, yang dilancarkan pada 2021, menawarkan hampir 600 perkhidmatan daripada lebih 25 agensi.
Pada majlis itu, empat mantan setiausaha tetap dan 21 pemimpin kanan dihargai atas sumbangan mereka, manakala 33 pemimpin perkhidmatan awam dan 79 pegawai Program Kepimpinan Perkhidmatan Awam (PSLP) baharu dilantik.
