Topik diikuti
Pergi ke BHkuChun Sing: Semakan gaji menteri kekal rangkumi diskaun 40%
Kerangka gaji politik perlu dikemas kini demi tarik bakat berwibawa, berdedikasi
Chun Sing: Semakan gaji menteri kekal rangkumi diskaun 40%
Formula tanda aras gaji bagi menteri gred MR4 akan dikekalkan pada pendapatan tahunan median daripada 1,000 pemegang pendapatan tertinggi dalam kalangan warga Singapura, dengan potongan sebanyak 40 peratus.
Tanda aras itu mencerminkan kaliber orang yang diperlukan Singapura untuk tadbir urus yang baik, manakala diskaun itu mencerminkan etos perkhidmatan, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.
“Tanda aras itu sendiri mencerminkan kaliber individu yang diperlukan Singapura untuk tadbir urus yang baik, manakala potongan 40 peratus mencerminkan etos perkhidmatan,” kata beliau.
Menyampaikan Kenyataan Menteri di Parlimen pada 8 September, Encik Chan berkata kerangka gaji politik perlu terus dikemas kini supaya individu berwibawa dan berdedikasi daripada pelbagai latar belakang serta peringkat usia dapat tampil berkhidmat, tanpa menjejas etos perkhidmatan politik.
Beliau menjelaskan bahawa penyesuaian ini penting untuk memastikan kepimpinan Singapura tidak hanya dianggotai oleh mereka yang kukuh dari segi kewangan atau telah membuat pilihan gaya hidup luar biasa.
Sebaliknya, Singapura juga perlu menarik bakat muda berusia 30-an dan 40-an tahun serta karyawan berkaliber dari sektor swasta.
“Kami mahu mampu berkata kepada warga Singapura yang berwibawa, ‘Singapura memerlukan anda, dan walaupun perkhidmatan politik melibatkan pengorbanan, ia tidak akan menjejas anda dan keluarga anda secara tidak munasabah,’” kata Encik Chan.
Dalam ucapannya, Encik Chan berkata pemerintah bersetuju dengan penilaian Jawatankuasa Semakan Gaji Pemegang Jawatan Politik dan Anggota Parlimen (AP) 2026 bahawa tiga prinsip teras kerangka gaji politik – kaliber, komitmen, dan bersih – kekal kukuh dan perlu.
Mengenai prinsip kaliber, Encik Chan berkata rangka kerja gaji harus merujuk kepada tanda aras pasaran bagi memastikan individu yang berkaliber tidak terhalang daripada melangkah ke hadapan untuk memimpin negara.
Mengenai prinsip komitmen, rangka kerja gaji harus merangkumi diskaun yang bermakna berbanding tanda aras pasaran untuk mencerminkan etos perkhidmatan politik.
Mengenai prinsip bersih, rangka kerja gaji harus memastikan “gaji bersih” tanpa faedah tersembunyi, tambah Encik Chan.
Melalui semakan ini, beliau berkata gaji rujukan tahunan gred MR4 akan dikemas kini kepada $1.8 juta, namun potongan 40 peratus kekal dikuatkuasakan.
Tanpa potongan tersebut, tanda aras berkenaan berada pada kadar melebihi $3 juta, kata Encik Chan.
Bagi pemegang jawatan politik sedia ada, pemerintah tidak akan memindahkan mereka serta-merta ke gaji rujukan baharu.
Sebaliknya, pelarasan satu kali sehingga 9 peratus akan dilaksanakan mengikut prestasi dan keadaan individu.
Bagi menteri gred MR4 yang kini menerima $1.1 juta, ini bermakna penyesuaian kepada kira-kira $1.2 juta.
Mengulas mengenai perbelanjaan pemerintah susulan semakan ini, Encik Chan memaklumkan bahawa pemerintah akan membelanjakan sekitar $5 juta lagi setahun sekiranya kadar maksimum 9 peratus diterapkan kepada semua pemegang jawatan politik.
Bagi elaun Anggota Parlimen (AP) pula, kos tambahan dianggarkan sebanyak $6.6 juta setahun.
Encik Chan turut membentangkan perubahan kepada gaji menteri MR2, MR3, Mayor, Setiausaha Parlimen Kanan (SPS) dan Setiausaha Parlimen (PS)
Gred MR2 dan MR3 akan digabungkan menjadi satu gred berserta tambatan pada kadar 1.3 kali ganda gaji MR4.
Bagi Mayor, SPS dan PS, gred mereka akan digabungkan dan ditambat pada kadar 0.45 kali ganda MR4.
Bagi AP, elaun bulanan mereka akan dinaikkan daripada $13,750 kepada $18,500 bagi mengambil kira kadar inflasi.
Elaun AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) pula akan dinaikkan daripada 15 peratus kepada 30 peratus daripada elaun tahunan AP, iaitu menjadi $5,550 sebulan, sejajar dengan peluasan hak pengundian penuh mereka di Parlimen.
Bagi Presiden, Speaker dan Timbalan Speaker, Encik Chan berkata tambatan sedia ada akan kekal sama, dengan gaji bulanan Presiden ditambat pada gaji bulanan Perdana Menteri.
Gaji Speaker pula akan ditambat pada 50 peratus gaji MR4, manakala pakej tahunan Timbalan Speaker kekal 15 peratus daripada gaji Speaker.
Dalam membentangkan perubahan kepada gaji menteri di Parlimen, Encik Chan menegaskan bahawa wang sahaja tidak boleh menjadi dorongan utama bagi sesiapa yang ingin menceburi bidang politik.
“Sekiranya wang adalah sebab utama anda mahu menjadi menteri, secara jujur, anda bukanlah individu yang kami cari,” tegas Encik Chan.
“Objektif kami mudah — membolehkan warga Singapura daripada pelbagai latar belakang tampil dan berkhidmat, sambil mengiktiraf bahawa perkhidmatan politik melibatkan pengorbanan.”
Pelarasan gaji dan elaun baharu ini akan mula dikuatkuasakan pada 15 Oktober.
