Meskipun jumlah syarikat yang menyertai program SkillsFuture kian berkembang, dengan 23,000 syarikat dicatatkan pada 2024 berbanding 20,000 pada 2023, masih terdapat ruang bagi syarikat kecil dan sederhana (SME) untuk bersatu bagi mengusulkan permintaan bagi mendapatkan kemahiran baru, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
Ini agar pihak pemerintah dapat mengenal pasti kemahiran yang diperlukan itu dan mengaktifkan penawaran kemahiran baru tersebut menerusi Institut Pengajian Tinggi (IHL), tambah beliau.
Encik Chan membuat kenyataan demikian semasa berucap dalam majlis anugerah tahunan SkillsFuture Singapura (SSG) di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 4 November.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Presiden Tharman Shanmugaratnam sebagai tetamu terhormat.
Seramai 13 warga Singapura dan 22 majikan menerima anugerah di majlis tersebut.
Semasa berucap, Encik Chan berkata: “Hari ini, kita mempunyai banyak kursus (dan) modul yang dipanggil modul mikro (micromodule), modul yang boleh bertindan, kebanyakannya dimulakan oleh syarikat.
“Kebanyakan juga dimulakan oleh rakan kongsi dalam persatuan dan dewan perdagangan, sebahagiannya oleh syarikat SkillsFuture Queen Bee, semuanya menetapkan piawaian dan rentak (yang sesuai).
“Kita sedang mengorak kemajuan kerana syarikat lebih besar, secara semula jadi, lebih teratur dan mempunyai lebih banyak sumber.
“Tetapi kita memerlukan lebih banyak syarikat SME bersatu hati secara agregat dan mengutarakan permintaan kemahiran baru supaya kita boleh mengaktifkan tawaran kemahiran baru ini menerusi IHL.
“Itu adalah sesuatu yang kita harap dapat bekerjasama dengan pihak majikan serta syarikat.”
Beliau juga menggesa agar individu yang tidak menyertai sebarang program meningkatkan kemahiran untuk berbuat demikian dan ini sesuatu ruang yang masih boleh diperhalusi.
Ini kerana pihak berkepentingan perlu memahami sebab di sebalik individu sedemikian tidak turut serta dalam program yang telah ditawarkan.
“Saya rasa kita boleh dan masih perlu lakukan lebih banyak lagi untuk menggalakkan semua agar ikut terlibat sama dalam gerakan (meningkatkan kemahiran),” ujarnya.
Sifat sentiasa meningkatkan diri ini menjadi antara pegangan utuh buat salah seorang penerima Biasiswa SkillsFuture, Syed Mohamed Ali Syed Hassan, yang menerima anugerahnya daripada Tuan Presiden.
Dalam satu jawapan bertulis kepada Berita Harian selepas majlis, beliau berkongsi bahawa sungguhpun sudah lebih 27 tahun berkecimpung dalam bidang peralatan kontena bersama PSA Corporation Ltd, beliau tetap teruja untuk “membangunkan kemahiran insaniah dan mencari cara baru untuk menerapkannya dalam pekerjaan”.
Pembantu Eksekutif Operasi 1 berusia 53 tahun itu berkata: “Saya memulakan kerjaya sebagai operator kren halaman pada 1994 di Terminal Keppel.
“Saya meningkatkan diri daripada mengendali kren halaman manual kepada kren dermaga separuh automatik (kren yang terletak di tepi dermaga) dan telah berkembang untuk melatih pakar peralatan kontena dalam teknologi baru bagi Pelabuhan Tuas.
“Pembelajaran berterusan dan peningkatan kemahiran diperlukan tatkala PSA meneruskan transformasi digitalnya.
“Penerimaan anugerah ini merupakan pencapaian bermakna bagi kerjaya saya bersama PSA kerana ia mengiktiraf dedikasi dan pembangunan diri saya dalam kerjaya.
“Saya juga berharap ia memberi inspirasi kepada rakan sekerja, generasi muda dan rakan untuk terus meningkatkan kemahiran.”
“
“Kita sedang mengorak kemajuan kerana syarikat lebih besar, secara semula jadi, lebih teratur dan mempunyai lebih banyak sumber. Tetapi kita memerlukan lebih banyak syarikat SME bersatu hati secara agregat dan mengutarakan permintaan kemahiran baru supaya kita boleh mengaktifkan tawaran kemahiran baru ini menerusi IHL (Institut Pengajian Tinggi). Itu adalah sesuatu yang kita harap dapat bekerjasama dengan pihak majikan serta syarikat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg