Di sebalik susuk tubuh Qarizh Fadel Mohammad Fadeli yang kerdil dan sifatnya yang agak pemalu, tersirat semangat juang tinggi bak pahlawan untuk mempertingkatkan kemahirannya dalam seni bela diri Thailand, muay thai.
Berkongsi bersama Berita Harian (BH) melalui satu panggilan telefon, atlet muay thai Singapura berusia tujuh tahun itu berkata dia “tidak sabar untuk berlawan dalam lebih banyak pertarungan” selepas memenangi perlawanan profesional sulungnya dalam kategori 20 kilogram.
Anak sulung daripada dua adik-beradik itu menewaskan seterunya dari Thailand menerusi knockout (KO) dalam pusingan pertama daripada tiga pusingan semasa pertandingan Legend Fight Night di bandar Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand, pada 30 November.
Dengan nada segan silu, Qarizh berkata ia adalah satu pengalaman yang membuka matanya dan dia teruja dapat mencatatkan kemenangan.
“Saya rasa gementar (sebelum perlawanan), tetapi saya ingin lebih banyak perlawanan (selepas kemenangan ini),” ujar murid Darjah 1 Sekolah Rendah Jiemin itu.
Menurut ibu bapa Qarizh, Encik Mohammad Fadeli Jeffridin dan Cik Nur Qasidah Kamijan, mereka sering melatih anak mereka di rumah setelah mendapati Qarizh gemar bertumbuk dan menendang sejak berusia 18 bulan.
Cik Qasidah, 30 tahun, berkata bahawa pada usia itu, anaknya “menumbuk dan menendang bantal serta apa yang ada” hingga beliau dan suaminya ada kalanya memegang bantal atau bantal guling untuk “puaskan dia tumbuk dan tendang”.
“Saya dan suami saya gemar menonton sukan seni bela diri seperti One Championship, jadi saya rasa Qarizh dipengaruhi oleh pertandingan sedemikian.
“Kami dapat lihat dia lebih terlibat dengan sukan ini secara fizikal saban tahun. Kami membeli bag tumbukan apabila dia berusia hampir dua tahun,” ujarnya.
Cik Qasidah menambah apabila mereka ingin mendedahkan Qarizh kepada muay thai ketika usianya dua tahun, tidak ada kelas bagi golongan usia tersebut pada waktu itu.
Lantaran itu mereka melatih Qarizh dengan bag tumbukan yang ada di rumah “tanpa apa-apa kelas muay thai yang wajar” hinggalah dia berusia sekitar enam tahun, apabila dia mula menyertai kelas.
Sungguhpun tidak mendapat bimbingan wajar, sesi latihan di rumah itu secara tidak langsung mengeratkan jalinan antara anak dan ibu bapa, tambah beliau.
“Sebenarnya kami rasa muay thai bukan sahaja aktiviti yang sangat sihat. Kadangkala kami berempat berlatih bersama Qarizh, jadi sedikit sebanyak ia membantu kami memahami satu sama lain, terutamanya Qarizh, kerana kami tahu bila dia bersedia untuk bertarung dalam sesebuah perlawanan.
“Saya berlatih bersamanya hampir setiap hari… oleh itu saya sedia maklum di mana tahap anak saya secara tepat,” ujar Cik Qasidah.
Beliau berkata persiapan menjelang pertandingan sulung anaknya di Thailand itu amat intensif untuk Qarizh kerana di samping latihan persiapan jasmani intensif yang dikendali oleh jurulatih, Lee De Jun, dia turut berlatih hampir setiap hari selama sekitar satu jam untuk mengasah teknik dan gerak geri lain.
Dari situlah beliau dapat melihat bahawa Qarizh mempunyai disiplin tinggi, pantas mendakap sesuatu gerak geri dan mempunyai tendangan serta tumbukan kuat bagi kanak-kanak usianya.
Cik Qasidah berkata kadangkala kaki beliau bengkak setelah melatih Qarizh dek impak daripada tendangan atau tumbukannya.
Lee berkata Qarizh mempunyai daya ketahanan dan kekuatan kental, di samping kebolehannya menggabungkan gerak geri serangan yang dipraktikkan dalam muay thai melibatkan tumbukan, tendangan, penggunaan siku dan lutut.
“Qarizh begitu muda tetapi dia memaparkan pengalaman luas di dalam gelanggang.
“Dia dapat kekal tenang sebelum dan semasa perlawanan serta mengikut pelan yang diterapkan bagi mencatatkan kemenangan, sesuatu yang begitu menakjubkan,” ujar beliau.
Dengan pencapaian itu, Cik Qasidah berkata beliau dan suaminya akan terus menyokong Qarizh memburu impiannya mewakili Singapura sebagai atlet muay thai profesional dalam pertandingan One Championship satu hari nanti.
“Secara umumnya, laluan tradisional di Singapura ialah kemahiran teknikal dan pelajaran.
“Namum, penting juga untuk membiarkan anak anda meneroka minatnya sendiri, dan kemudian membuat tindakan susulan bagi minat anak itu.
“Apa yang kami lakukan ialah menyokong Qarizh dalam minatnya. Dia perlukan pendedahan dan perlukan sesuatu yang lebih mencabar baginya,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg