Encik Muhammad Ridhwan Ibrahim tidak menyangka cintanya terhadap orkid akan ‘membungakan’ hasil.
Ini apabila beliau muncul sebagai antara pemenang dalam satu pertandingan orkid di bawah Persidangan Orkid Asia Pasifik Ke-14 (APOC 14) 2023, yang pertama kali dianjurkan di Singapura pada Rabu.
Encik Muhammad Ridhwan, 34 tahun telah dipilih sebagai pemenang dalam kategori Hibrid Dendrobium Terbaik Kelas miniatur Dendrobium Hybrid.
Semasa ditemui di acara itu yang diadakan di Singapore Expo, beliau yang telah menanam dan menjaga orkidnya sejak Januari berkata:
“Saya berasa amat teruja dan gembira dapat memenangi pertandingan ini, seperti tidak sangka kerana ia juga kali pertama APOC diadakan di sini.”
Orkid yang ditanam beliau adalah gabungan daripada dua jenis hibrid orkid–Dendrobium Goldenrod dan Dendrobium Goldmine.
Encik Muhammad Ridhwan menceritakan yang beliau hanya memeliharakan tumbuhan itu di kawasan persekitaran rumahnya yang menghadap arah barat. Ia bermakna sinaran matahari memberikan sumber tenaga yang sesuai untuk proses pertumbuhan orkid ini berjalan dengan lancar.
Sementara itu, Kebun Bunga Singapura dan Gardens by The Bay telah menerima penghormatan tertinggi dalam pertandingan itu kerana pameran bunga yang menarik dan teknologi pembiakbakaan kacuk.
Acara itu yang merupakan jaringan terbaik peringkat antarabangsa dalam memelihara spesies orkid kali ini bertemakan ‘Kepelbagaian, Pemuliharaan, Budaya’. Ia diadakan setiap tiga tahun dan menghimpunkan penyelidik, penanam profesional, dan penggemar orkid yang terbesar di rantau Asia-Pasifik.
Turut menghadiri acara itu ialah Presiden Halimah Yacob dan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Antara bunga orkid yang dipamerkan ialah bunga kebangsaan Singapura, Vanda Miss Joaquim, bunga yang tidak asing lagi bagi warga Singapura.
Dalam ucapannya, Encik Lee berkata:
“Orkid merupakan unsur ikonik warisan negara Singapura, dan ia telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan Singapura dan kedudukan antarabangsa.”
Merujuk kepada jenis orkid Vanda Miss Joaquim, beliau berkata bahawa “Ia hibrid orkid yang bertenaga, berdaya tahan dan mekar sepanjang tahun, melambangkan semangat warga Singapura.”
“Industri orkid tempatan kita juga terkenal dengan inovasi yang berterusan dan penghasilan hibrid orkid baru yang unik dalam konteks tempatan kita – Misalnya, dalam pembiakan orkid menggunakan pelbagai spesies Vanda dari rantau ini, dan campuran yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.”
APOC itu terdiri daripada dua program – Pertunjukan Orkid dan Program Persidangan.
Selain penyertaan untuk pertandingan, terdapat juga sumbangan dari pelbagai kebun komuniti yang digabungkan dalam satu pameran dinamakan Komuniti dalam Kemerdekaan. Salah satu rakan kongsi dalam projek ini adalah Rumah Rawatan Jamiyah (Darul Syifaa).
“Melalui paparan ini, kami gembira untuk mempunyai komuniti kebun kami yang mengambil bahagian dan mempamerkan orkid yang telah ditanam dengan penuh kasih sayang,” kata Cik Loh Chay Hwee, Timbalan Pengarah Duta Kemekaran Di Kalangan Masyarakat, Lembaga Taman Negara (NParks).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg