CITI Singapore dan rakan niaganya semalam menderma $240,000 untuk menyokong konsert mengumpul dana, ChildAid. Ini menjadikan jumlah keseluruhan tahun ini kepada sekitar $390,000.
Bank itu menyumbang sebanyak $150,000 kepada ChildAid Julai lalu.
ChildAid adalah acara tahunan bagi menyokong Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (STSPMF) dan Dana Artis Baru The Business Times (BTBAF).
STSPMF memberi pelajar elaun bulanan bagi perbelanjaan berkaitan sekolah sementara BTBAF membantu anak muda membayar pelajaran dalam bidang seni.
Setiap tahun, Citi Singapore mengadakan acara Golf Amal Citi & Rakan Kongsi untuk mengumpul dana bagi kanak-kanak Singapura daripada keluarga berpendapatan rendah.
Namun, acara tahun ini dibatalkan buat julung kalinya dalam sejarah akibat Covid-19. Bank itu kemudian melancarkan daya usaha Sokong ChildAid Citi & Rakan Kongsi November lalu, membawa Dell, NICE dan WWT bersama.
Kempen sebulan itu juga dianjurkan sempena Minggu Memberi SG Cares 2020 oleh Pusat Sukarelawan dan Dermawan Nasional (NVPC).
Ketua Asean dan pegawai negara untuk Singapura Citi, Encik Amol Gupte, berkata: "Kami berbesar hati Citi terus menyokong ChildAid, terutamanya dalam tahun mencabar ini. Apa yang membuat usaha kami lebih bermakna adalah kami dapat membawa rakan kongsi kami menyokong usaha murni ini."
Sejak 2002,Citi meraih kutipan hampir $6.6 juta untuk menyokong STSPMF dan BTBAF.
Ketua pegawai maklumat dan ketua operasi dan teknologi Asia Pasifik Citi, Cik Stacey Lacy, berkata: "Kami percaya tiada kanak-kanak disekat peluang menimba ilmu melalui pendidikan, dan memburu minat dalam bidang seni. Dengan rasa terima kasih yang mendalam kepada rakan kongsi kami, kami dapat membuat perbezaan."
Pengerusi bersama ChildAid 2020, Encik Helmi Yusof, berkata: "2020 tahun mencabar untuk ramai. Tetapi, ia menimpa teruk ibu bapa benefisiari kami - dan secara meluas, benefisiari kami. Selama bertahun-tahun, sumbangan Citi membantu hampir 180,000 kanak-kanak susah membeli makan tengah hari, bayar pengangkutan ulang-alik ke sekolah, dan menceburi pelbagai bentuk seni untuk perkembangan peribadi mereka.
"Pada 2020, sumbangan Citi diperluas dengan membantu benefisiari dan keluarga mereka menghadapi kemerosotan ekonomi."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg