PEGAWAI Biro Narkotik Pusat (CNB) telah menahan tiga warga Singapura yang disyaki melakukan kesalahan mengedar dadah dalam satu operasi di Ubi Avenue 1 dan Bukit Timah.

Mereka merampas pelbagai jenis narkotik bernilai sekitar $118,000 dan senjata termasuk pistol 'airsoft', parang dan pedang, kata CNB pada hari Rabu.

Kira-kira 350 gram methamphetamine atau Ice, 778 gram ganja, 235 gram ketamin, 41 pil Ecstasy, 100 pil Erimin-5 dan 50 setem lysergic acid diethylamide (LSD) telah dirampas semasa operasi pada Isnin.

Seorang lelaki berusia 32 tahun dan seorang wanita berusia 22 tahun ditahan selepas pegawai CNB menyerbu sebuah unit di Ubi Avenue 1.

Kebanyakan dadah, pelbagai peralatan dan senjata ditemui di situ.

Lelaki itu sedang disiasat kerana memiliki senjata yang juga termasuk 'knuckle duster' (logam yang dipakai di atas buku jari).

Seorang lagi lelaki berusia 32 tahun ditahan di Bukit Timah, di mana beliau ditemui bersama 5 gram methamphetamine dan peralatan dadah lain.

Timbalan Pengarah Divisyen Perisikan CNB, Superintendan Encik Stanley Seah, berkata pengedar dadah bersenjata meningkatkan ancaman yang ditimbulkan kepada pegawainya.

"Tetapi ini tidak akan menghalang kami. Pegawai CNB akan kekal teguh dalam usaha kami untuk menghalang dadah daripada mengalir ke tempat awam," tambahnya.

Sesiapa yang didapati bersalah mengedar lebih daripada 250 gram methamphetamine atau 500 gram ganja berdepan hukuman mati.

Siasatan terhadap ketiga-tiga suspek masih diteruskan.