Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CNB rampas 4kg dadah, lelaki S'pura diberkas

May 12, 2022 | 5:30 AM
DADAH DIRAMPAS: Dadah yang dirampas CNB semasa serbuan di Bras Basah Isnin lalu mempunyai nilai jalanan $177,000. - Foto CNB
DADAH DIRAMPAS: Dadah yang dirampas CNB semasa serbuan di Bras Basah Isnin lalu mempunyai nilai jalanan $177,000. - Foto CNB -

SEORANG lelaki warga Singapura berusia 31 tahun telah diberkas pada Isnin kerana disyaki mengedar dadah, setelah lebih 4 kilogram dadah pelbagai jenis dirampas dari bilik hotel di Bras Basah Road.

Dadah itu mempunyai nilai jalanan $177,000, kata Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam satu kenyataan semalam.

Semasa serbuan itu, pegawai CNB merampas sekitar 65 gram 'Ice', 2,155 gram ganja, 5 gram ketamine, 360 gram tablet 'Ecstasy', beberapa setem LSD (lysergic acid diethylamide), 1,310 gram pil Erimin-5 dan 700 gram uncang campuran minuman yang dipercayai mengandungi dadah terkawal.

Jumlah ganja yang dirampas adalah mencukupi untuk menampung ketagihan 307 pesalah guna dadah, kata CNB.

Jika seseorang didapati bersalah mengedar lebih daripada 500 gram ganja, dia berdepan hukuman mati.

Menurut CNB, para pegawainya terpaksa memaksa masuk bilik hotel itu pada petang Isnin lalu selepas lelaki tersebut enggan mematuhi arahan mereka.

Lelaki itu ditahan di dalam tandas di mana dia disyaki telah membuang dadah ke dalam mangkuk tandas.

Dadah ditemui di pelbagai lokasi di dalam bilik hotel termasuk mangkuk tandas, tangki dan saliran air.

Pengarah bahagian risikan CNB, Superintenden Aaron Tang berkata:

"Tidak menghairankan bahawa sindiket pengedaran dadah terus mengeksploitasi pelbagai kaedah penyembunyian dadah baru untuk mengelak tindakan penguatkuasaan berterusan CNB.

"Dalam operasi ini, kita melihat bagaimana sindiket telah mengubah uncang teh susu untuk menyembunyikan dadah mereka.

"CNB akan melakukan apa sahaja untuk melancarkan operasi tepat pada masanya untuk mengelakkan dadah ini daripada mencemari masyarakat kita."

Siasatan terhadap aktiviti berkaitan dadah suspek yang telah diberkas sedang dijalankan.

CNB mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil sebarang produk yang tidak dikenali.

Mereka boleh menghubungi CNB di 1800-325-6666 untuk mendapatkan nasihat atau bantuan jika mereka melihat aktiviti dadah yang disyaki atau barang yang disyaki mengandungi dadah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg