SINGAPURA melaporkan 12 kes Covid-19 baru, kesemuanya diimport, sehingga 12 tengah hari semalam.

Mereka telah diletakkan di bawah perintah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) apabila tiba di Singapura, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya semalam.

Tiada kes jangkitan koronavirus dalam masyarakat dilaporkan, tambah kementerian itu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes koronavirus di negara ini mencapai 59,858.

Kelmarin, sebanyak 14 kes dilaporkan - kesemuanya kes import - dan semuanya telah diletakkan di bawah SHN atau diasingkan apabila tiba di Singapura.

Salah seorang daripadanya merupakan seorang pemegang pas kerja yang tiba dari India dan diuji positif bagi virus itu walaupun sebelum ini telah diuji negatif sebanyak dua kali.

Lelaki berusia 48 tahun itu tiba di Singapura pada 30 Disember lalu dan telah menjalani SHN sehingga 3 Januari.

Beliau kemudian dikuarantin dengan segera sehingga 13 Januari setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat salah satu kes yang dilaporkan sebelum ini.

Lelaki itu diuji negatif apabila menjalani ujian swab dua kali semasa kuarantin pada 4 dan 10 Januari.

Beliau hanya diuji positif pada Rabu lalu setelah menjalani ujian swab sebagai persiapan untuk pulang ke India.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti