SEBANYAK 15 kes baru jangkitan Covid-19 dalam masyarakat dilaporkan hingga 12 tengah hari semalam, termasuk tujuh kes yang tidak berkait.
Daripada bilangan tersebut, lapan kes dikaitkan dengan kes-kes sebelum ini, dengan enam daripada mereka sudah pun dikuarantin manakala dua lagi dikesan menerusi pemeriksaan.
Secara keseluruhan, sebanyak 18 kes baru jangkitan Covid-19 dilaporkan semalam, kata Kementerian Kesihatan (MOH) menerusi satu kenyataan.
Daripada jumlah itu, tiga merupakan kes import yang sudah dikenakan arahan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setibanya di Singapura.
Dua daripada mereka merupakan warga atau penduduk tetap (PR) Singapura yang pulang ke negara ini.
Tiada kes baru dalam dormitori pekerja migran dilaporkan semalam.
Kelmarin, 23 kes baru jangkitan Covid-19 di Singapura dilaporkan, termasuk 16 dalam masyarakat, dengan tiada kes baru daripada dormitori.
Dalam ucapannya kelmarin, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menggariskan strategi untuk fasa seterusnya dalam usaha memerangi Covid-19, dan ini melibatkan usaha mempergiat ujian, penjejakan kontak dan vaksin sedang dunia menghadapi varian virus yang lebih mudah dijangkiti.
Ini meskipun Singapura berada dalam keadaan lebih baik berbanding setahun lalu, kata Encik Lee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg