KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) melaporkan 1,761 kes jangkitan Covid-19 baru pada Sabtu (27 November), terdiri daripada 1,689 kes masyarakat, 63 kes penghuni dormitori dan sembilan kes import.

Jumlahnya meningkat daripada 1,090 kes yang dilaporkan pada Jumaat.

Dalam kalangan kes masyarakat ini, terdapat 282 warga emas berusia 60 tahun ke atas, jelas MOH dalam kenyataannya.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan Covid -19 atau nisbah kes masyarakat bagi minggu sudah mengatasi minggu sebelumnya pula adalah 0.75. Ia meningkat sedikit daripada 0.74 pada Jumaat.

Ini adalah hari ke-15 berturut-turut di mana kadar pertumbuhannya di bawah angka satu. Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan yang konsisten di bawah satu menunjukkan jumlah kes Covid-19 baru yang merosot.

Kadar penggunaan Unit Jagaan Rapi (ICU) pula di paras 56.6 peratus pada Sabtu, meningkat daripada 54.2 peratus pada Jumaat.

Sementara itu, enam kes melibatkan individu antara 55 dengan 82 tahun, meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan Covid-19. Kesemuanya mempunyai kondisi perubatan.

Ini menjadikan jumlah kematian di Singapura mencecah 690 kes kini.

Jumlah kes di Singapura pula adalah 261,636 kes sejak pandemik bermula tahun lalu.

MOH pula menambah dalam kalangan kelompok yang sedang dipantau rapi adalah Jenaris Home @ Pelangi Village yang mempunyai 17 kes baru, membawa jumlah kes dalam kelompok itu kini 121 kes.

Rumah rawatan Econ di Chai Chee pula melaporkan satu kes baru, menjadikan jumlah keseluruhan kes di situ kini 38 kes.