Topik diikuti
Pergi ke BHkuCovid-19: 6,400 beri khidmat dalam pekerjaan jangka pendek
Covid-19: 6,400 beri khidmat dalam pekerjaan jangka pendek
Covid-19: 6,400 beri khidmat dalam pekerjaan jangka pendek

SEKITAR 6,400 orang telah berkhidmat dalam pekerjaan jangka pendek Covid-19 di bawah sektor perkhidmatan awam, institusi yang dibiayai pemerintah atau penyedia khidmat perubatan sektor swasta hingga April tahun ini.
Daripada jumlah itu, 1,200 pekerja akan "dikerah untuk bertugas dalam peranan lebih berjangka panjang" dan baki 5,200 akan mencari pekerjaan lain selepas menamatkan kontrak mereka dalam bulan-bulan akan datang, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Justeru, Dr Tan menggesa majikan yang menghadapi masalah kekurangan pekerjaan untuk menggajikan golongan pekerja yang telah berkhidmat dalam peranan jangka pendek Covid-19 itu.
Ini termasuk mereka yang diambil kerja sebagai Duta Jarak Selamat (SDA) dan bertugas di pusat vaksinasi.
Dalam ucapannya di Parlimen, Dr Tan mengulas bagaimana syarikat boleh menyesuaikan diri dengan kekurangan pekerja dalam keadaan ekonomi yang semakin pulih.
Beliau turut mendedahkan bahawa pengambilan pekerja tempatan meningkat sebanyak 71,300 pada 2021.
Kadar pengangguran penduduk juga telah pulih ke tahap sebelum Covid-19.
"Saya berbesar hati melihat banyak perniagaan telah dapat membina tenaga kerja tempatan mereka untuk memenuhi keperluan tenaga kerja," katanya sambil menambah bahawa masih terdapat peluang untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan.
Menurutnya, Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan menyediakan bantuan pengambilan pekerja.
Majikan yang ingin mempertimbangkan golongan pekerja tersebut boleh menghubungi pertubuhan tersebut.
"Ramai dari golongan pekerja ini datang dari sektor F&B (makanan dan minuman) dan runcit, dan dengan itu akan memiliki kemahiran serta pengalaman berkaitan," kata Dr Tan.
Sementara itu, majikan juga boleh mempertimbang mengambil kerja mereka yang telah menjalani latihan di bawah pelbagai program di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited, tambahnya.
"Terdapat lebih 9,800 individu yang masih menjalani program mereka pada akhir Februari 2022 dan mereka juga akan mencari pekerjaan dalam masa terdekat," katanya.
