KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) berkata secara keseluruhan bilangan kes baru dalam masyarakat stabil dengan purata dua kes sehari dalam dua minggu lalu.
Bahkan, tiada kes masyarakat dilaporkan pada Jumaat (14 Ogos).
Bilangan kes yang tidak mempunyai kaitan juga stabil dengan 1 kes sehari secara purata dalam dua minggu lalu.
Singapura melaporkan 83 kes jangkitan baru hari ini kebanyakannya tinggal di dormitori.
Terdapat 21,300 pekerja asing kini yang masih menjalani tempoh kuarantin.
Menyentuh empat kes diimport pula, MOH berkata dua merupakan pemegang pas tanggungan yang masing-masing tiba dari India pada 30 dan 31 Julai.
Seorang daripada mereka merupakan kanak-kanak lelaki berusia satu tahun. Baki dua kes import melibatkan pemegang pas kerja yang juga tiba dari India pada 2 Ogos lalu.
MOH berkata, seramai 313 pesakit Covid-19 telah dibenarkan keluar hospital atau kemudahan pengasingan.
Seramai 79 kes pula masih dirawat di hospital tetapi kebanyakan stabil atau sedang memulih.
Tiada pesakit menerima rawatan unit jagaan rapi, kata MOH lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg