PANDEMIK Covid-19, walaupun memberi cabaran hebat kepada institusi agama untuk menjalankan ibadah berjemaah, turut membuka jalan kepada cara inovatif menyelesaikan masalah bilangan jemaah yang terlalu ramai di masjid semasa solat Jumaat, kata Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan.
Salah satu daripada huraian yang ditemui dalam tempoh pandemik itu ialah sistem tempahan masjid yang membantu menguruskan bilangan jemaah dengan lebih baik dan dengan itu meningkatkan keselamatan di masjid, katanya.
Dr Mohammad Hannan berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta sesi perbincangan kecil pada hari ketiga dan terakhir Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) semalam.
Dalam sesi berjudul 'Kepercayaan Mengatasi Pandemik Covid-19' (Faith Overcoming Covid-19 Pandemic) itu, beliau dan pensyarah Kolej Teologi Triniti Singapura, Reverend Dr Edmund Fong, bercakap tentang bagaimana masjid dan gereja telah terpaksa membuat penyesuaian apabila ibadah berjemaah dan program serta kelas yang biasanya dianjurkan secara fizikal terjejas ekoran pandemik itu.
Dr Mohammad Hannan berkongsi bagaimana masjid-masjid terpaksa ditutup pada peringkat awal pandemik itu, sebelum dibuka semula secara berperingkat dengan pelbagai langkah pengurusan selamat termasuk menghendaki jemaah membuat tempahan bagi mendapatkan slot untuk menunaikan solat Jumaat dengan lebih daripada satu sesi solat ditawarkan di banyak masjid.
"Sekarang keadaan hampir seperti sebelum Covid-19 melanda. Tetapi, untuk solat Jumaat, jemaah masih perlu membuat tempahan bagi slot di masjid yang (mempunyai permintaan) lebih besar.
"Ini adalah sesuatu yang menarik, kerana kami sudah menghadapi kes ini sebelum Covid-19 melanda, iaitu bagaimana untuk menangani bilangan jemaah yang ramai yang melimpah ke jalan dan di depan tandas. Ia tidak selamat," katanya.
Menjalankan solat Jumaat dalam dua atau tiga sesi tidak pernah difikirkan sebelum pandemik melanda, tetapi Covid-19 telah membuka peluang itu, kata Dr Mohammad Hannan.
"Jadi kita mahu kekalkan itu. Untuk masjid (yang mempunyai permintaan) lebih besar, jemaah perlu membuat tempahan supaya bilangan itu dapat dikawal," katanya.
Kini dengan keadaan hampir kembali seperti sebelum pandemik, beliau berkata soalan yang perlu diajukan ialah sama ada masjid perlu kembali ke keadaan sebelum pandemik.
"Apakah pelajaran yang diraih dan peluang yang boleh diambil untuk mengatur diri kita untuk menunaikan solat kita dengan lebih baik? Sebelum Covid-19, jemaah meletak kenderaan mereka di mana-mana, menimbulkan bahaya kepada orang lain. Semasa Covid-19, kita tidak melihat keadaan itu. Adakah kita akan kembali ke amalan sedemikian? Itulah soalan yang kita perlu tanya diri kita - bagaimana kita kekalkan semangat ini dan juga pengajaran daripada Covid-19?" katanya.
Bagi masyarakat Kristian di Singapura, Dr Fong berkata mereka terpaksa mencari cara untuk meneruskan perkhidmatan ibadah mereka di dalam talian apabila Covid-19 mula-mula melanda, sebelum membuka semula gereja kepada penganutnya secara berperingkat.
Melangkah ke hadapan, Dr Fong berkata soalan yang perlu diajukan termasuk bagaimana untuk mengendalikan gereja dalam era pascapandemik kini, sama ada untuk kembali ke cara dahulu dengan semua perkhidmatan dijalankan secara fizikal, menjadi gereja hibrid dengan menawarkan perkhidmatan di lokasi dan dalam talian, atau menawarkan perkhidmatan sepenuhnya dalam talian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg