SEBANYAK enam kes baru Covid-19 dilaporkan di Singapura hingga 12 tengah hari semalam, menjadikan jangkitan koronavirus itu berjumlah 58,291 di sini.

Semua kes baru itu adalah kes import yang telah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setiba mereka di Singapura, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) semalam.

Tiada kes baru dilaporkan dalam kalangan masyarakat atau di dormitori pekerja asing.

Kelmarin, 12 kes Covid-19 dilaporkan, semuanya kes import yang telah dikenakan SHN setiba mereka di Singapura. Mereka terdiri daripada seorang warga Singapura, dua Penduduk Tetap (PR), lapan pemegang pas permit dan seorang pemegang pas lawatan jangka pendek.

Warga Singapura berusia 17 tahun itu kembali dari Britain dan menunjukkan simptom pada Isnin dan disahkan positif pada Selasa.

Dua lagi pesakit yang menunjukkan simptom ialah seorang PR lelaki berusia 40 tahun dan seorang pemegang pas permit wanita berusia 30 tahun. Mereka tiba dari Indonesia dan menunjukkan simptom pada Sabtu dan Isnin lalu.

Baki sembilan kes tidak menunjukkan simptom dan dikesan melalui pemeriksaan pengawasan proaktif, kata MOH. Ini merangkumi seorang wanita PR berusia 37 tahun yang kembali dari India, dan tujuh pemegang pas permit yang kini bekerja di sini dari Indonesia dan Myanmar.

Pemegang pas lawatan jangka pendek pula tiba dari Qatar. Beliau sebelum ini menerima rawatan perubatan di sini dan telah kembali untuk rawatan lanjut.