Covid-19 di SG: Satu kes masyarakat baru, tiada kaitan dengan kelompok TTSH
Covid-19 di SG: Satu kes masyarakat baru, tiada kaitan dengan kelompok TTSH
SATU kes Covid-19 dalam masyarakat dilaporkan di Singapura hingga 12 tengah hari semalam.
Kes itu tidak ada kaitan dengan kelompok jangkitan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH), kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Secara keseluruhan, 16 kes Covid-19 dilaporkan di Singapura hingga tengah semalam, termasuk 15 kes import, menjadikan jangkitan koronavirus itu berjumlah 61,268 kes di sini.
Menurut MOH, kesemua kes import telah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setiba mereka di sini.
Tiada sebarang kes baru dari dormitori pekerja migran.
Kelmarin, tiga pelawat ke TTSH, seorang ahli farmasi dan seorang pesakit membentuk lima kes Covid-19 baru yang dihubung kait dengan kelompok di hospital itu.
Ini menjadikan 40 kes dihubung kait dengan kelompok aktif terbesar di Singapura itu.
Kesemua kes baru itu dikenal pasti melalui ujian proaktif ke atas pesakit, pelawat dan kakitangan di TTSH atau kontak rapat mereka. Mereka telah dikuarantin, kata MOH.
Lima pesakit daripada kelompok di TTSH diuji positif bagi varian virus Covid-19 dari India.
Ini termasuk anggota kelompok terawal yang menunjukkan simptom, seorang pesakit TTSH berusia 57 tahun yang mengalami demam pada 16 April.
Jururawat yang merupakan kes pertama dikenal pasti dalam kelompok TTSH juga diuji positif bagi varian India.
Bilangan kes Covid-19 dalam masyarakat terus meningkat, dengan jumlah kes baru bertambah 64 kes pada minggu lalu, berbanding 11 kes pada minggu sebelumnya.
Sebanyak 12 kes import yang dikenal pasti kelmarin telah dikenakan SHN setiba mereka di sini.
Seramai 17 pesakit dibenarkan keluar hospital kelmarin, bermakna 60,808 pesakit kini telah pulih sepenuhnya.
Seramai 131 pesakit masih dirawat di hospital, termasuk dua yang berada dalam keadaan genting dan sedang menerima jagaan rapi. Mereka tidak dihubung kait dengan kelompok di TTSH.
Selain itu, 267 pesakit sedang berehat di pusat kuarantin masyarakat.
Seramai 31 orang meninggal dunia akibat Covid-19 di Singapura. Lagi 15 orang yang diuji positif pula meninggal dunia akibat sebab lain.

