Topik diikuti
Pergi ke BHkuCovid-19 di S'pura: 2,069 kes baru; 8 kematian warga emas

Covid-19 di S'pura: 2,069 kes baru; 8 kematian warga emas
SEBANYAK 2,069 kes jangkitan Covid-19 baru dilaporkan di Singapura pada Isnin (15 November), satu peningkatan daripada 1,723 kes sehari sebelum ini, jelas Kementerian Kesihatan (MOH) dalam laporan hariannya.
Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan Covid-19 juga merosot kepada 0.94 daripada 0.97 pada Ahad.
Angka ini merujuk pada nisbah kes masyarakat pada minggu sudah mengatasi minggu sebelumnya. Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan yang secara konsisten berada di bawah paras 1 menunjukkan jumlah kes Covid-19 baru yang berkurangan.
Kadar pertumbuhan jangkitan di sini berada di paras bawah 1 bagi tiga hari berturut-turut selepas ia meningkat melebihi 1 pada Jumaat.
Dalam pada itu, terdapat lapan orang antara usia 71 dengan 96 tahun yang meninggal kerana komplikasi berkaitan Covid-19, kata MOH.
Kesemua daripada mereka mempunyai pelbagai kondisi perubatan, tambah MOH, tanpa memberi keterangan lanjut.
Kematian ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian di Singapura sejak pandemik bermula tahun lalu mencecah 594 kes.
Jangkitan baru Isnin terdiri daripada 1,964 kes dalam masyarakat, 101 kes di dormitori pekerja migran dan empat kes import. Dalam kalangan kes masyarakat, terdapat 323 individu berusia 60 tahun ke atas.
Jumlah keseluruhan kes di Singapura kini mencecah 239,272 kes sejak pandemik bermula tahun lalu.
Dalam pada itu, MOH sedang memantau kelompok berikut:
a) Carpe Diem@ITE: 12 jangkitan dalam kalangan kakitangan dan pelajar. Dalam kalangan 12 kes ini, seorang adalah kakitangan manakala lapan merupakan pelajar dengan tiga yang lain adalah kontak isi rumah kes.
b) PCF Sparkletots @ Chong Pang: 14 jangkitan dalam kalangan kakitangan dan pelajar. Tiga kes merupakan kakitangan, tujuh kes adalah pelajar dan empat pula adalah anggota isi rumah.
c) Rumah Rawatan Jamiyah: 18 kes jangkitan melibatkan penghuni.
d) Jenaris Home @ Pelangi Village: 38 jangkitan dalam kalangan kakitangan dan penghuni. Dua kes merupakan kakitangan manakala 36 kes adalah penghuni.
e) Tajaka Iman (Woodgrove): 28 jangkitan dalam kalangan kakitangan dan pelajar. Enam adalah kakitangan, 18 adalah pelajar manakala empat pula adalah kontak isi rumah kes.