Topik diikuti
Pergi ke BHkuCovid-19 di S'pura: Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan turun kepada 0.98; 19,159 kes baru
Covid-19 di S'pura: Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan turun kepada 0.98; 19,159 kes baru
Covid-19 di S'pura: Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan turun kepada 0.98; 19,159 kes baru
KADAR pertumbuhan jangkitan mingguan Covid-19 merosot kepada 0.98 pada Rabu (2 Mac), kali pertama ia turun di bawah angka satu sejak 3 Januari, jelas Kementerian Kesihatan (MOH) dalam butiran terkininya mengenai kes koronavirus di Singapura.
Kadar pertumbuhan jangkitan adalah 1.02 pada Selasa.
Kadar ini merujuk pada nisbah kes masyarakat bagi minggu lalu mengatasi minggu sebelumnya. Kadar melebihi satu menunjukkan bilangan kes Covid-19 baru secara mingguan kian bertambah.
Sejumlah 19,159 kes Covid-19 baru dilaporkan pada Rabu, merosot daripada 24,080 jangkitan pada hari sebelumnya.
Pada Rabu lalu, Singapura melaporkan 20,312 kes sehari selepas mencatat jumlah kes kedua tertinggi iaitu 26,032 kes pada Selasa lalu.
Terdapat 1,708 kes yang dimasukkan ke hospital pada Rabu, merosot daripada 1,726 kes pada Selasa, kata MOH.
Jumlah pesakit di Unit Jagaan Rapi (ICU) juga turun sedikit kepada 51 kes berbanding 53 kes pada hari sebelumnya sementara 215 pesakit pula memerlukan sokongan oksigen.
Sementara itu, 10 kematian dilaporkan pada Rabu.
Darlam kalangan kes tempatan, 16,374 kes dikesan menerusi ujian pantas antigen (ART), yang bererti mereka dinilai doktor sebagai menampakkan tanda jangkitan ringan atau berisiko rendah.
Lagi 2,626 kes pula dikesan menerusi ujian reaksi rantaian polymerase (PCR).
Terdapat 160 kes import baru dengan 52 kes dikesan menerusi ujian PCR dan lagi 108 kes pula melalui ART.
Sehingga Rabu, Singapura melaporkan sejumlah 767,663 kes Covid-19 dan 1,040 kematian.
Sekitar 95 peratus penduduk yang layak sudah tamat vaksinasi lengkap mereka manakala 68 peratus penduduk sudah menerima suntikan penggalak.