Topik diikuti
Pergi ke BHkuCovid-19: Budak setahun setengah meninggal; kematian koronavirus pertama individu di bawah 12 tahun di S'pura
Covid-19: Budak setahun setengah meninggal; kematian koronavirus pertama individu di bawah 12 tahun di S'pura
Covid-19: Budak setahun setengah meninggal; kematian koronavirus pertama individu di bawah 12 tahun di S'pura
SEORANG budak lelaki berusia 1½ tahun yang dijangkiti Covid-19 telah meninggal dunia, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Dalam satu kenyataan pada Isnin malam (27 Jun), MOH berkata kanak-kanak itu meninggal dunia kerana radang otak atau encefalitis menyusuli jangkitan Covid-19 dan dua lagi virus.
Dua virus itu adalah virus pernafasan 'synctial' dan enterovirus (virus dalam gastrousus).
Ini adalah kematian pertama yang berpunca daripada Covid-19 yang menjejas pesakit di bawah usia 12 tahun, kata MOH.
MOH menambah budak ini tidak ada sejarah perubatan sebelum ini dan sebelumnya baik-baik sahaja.
Dia dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) pada malam 21 Jun dengan demam panas dan sawan berulang. Dia kemudian tidak sedarkan diri.
Budak ini kemudian dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi Kanak-Kanak dalam keadaan kritikal pada 22 Jun dan dikenal pasti menghidap radang otak dan meninges yang kronik. Meninges adalah membran yang menyelaputi otak dan saraf tunjang.
Ujian reaksi rantaian polymerase (PCR) budak ini menunjukkan dia positif Covid-19 berserta dua lagi virus lain.
Dalam kenytataannya, MOH berkata Covid-19 boleh membawa pada penyakit teruk, termasuk bagi kanak-kanak dan mereka yang tidak berpenyakit buat masa ini.
"Vaksinasi banyak mengurangkan kemungkinan penyakit teruk melanda apabila seseorang dijangkiti," katanya sambil menambah MOH mengusulkan semua kanak-kanak berusia antara lima dengan 11 tahun agar mendapatkan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty, khususnya bagi mereka dengan penyakit kronik yang tidak dikesan sebelum ini.
MOH berkata ia bersama Penguasa Sains Kesihatan dan Jawatankuasa Pakar berkenaan Vaksinasi Covid-19, akan mengkaji keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19 yang telah dirumuskan buat kanak-kanak kecil di bawah usia lima tahun, sejurus pengeluar vaksin ini mengemukakan dokumen relevan.
Kematian terkini itu membawa pada jumlah keseluruhan kematian berpunca daripada Covid-19 mencecah 1,409 kes.
Pada Isnin, Singapura melaporkan 5,309 kes koronavirus baru. Jumlah ini meningkat daripada 5,116 kes sehari sebelumnya.
Nisbah jangkitan dari minggu ke minggu juga bertambah kepada 1.56 daripada 1.52 pada hari sebelumnya.
Kadar ini merujuk pada nisbah kes masyarakat bagi minggu lalu mengatasi minggu sebelumnya.
Kadar melebihi satu menunjukkan bilangan kes Covid-19 mingguan kian bertambah.
MOH juga melaporkan terdapat 420 pesakit Covid-19 yang kini dirawat di hospital dengan 26 kes memerlukan sokongan oksigen manakala sembilan lagi dalam unit jagaan rapi.
Singapura sejauh ini melaporkan sejumlah 1,413,667 kes Covid-19 sejak pandemik bermula lebih dua tahun lalu.
