ORANG ramai dinasihatkan agar tidak berpusu-pusu pergi ke pasar basah, seperti Pasar Geylang Serai, untuk mendapatkan barang runcit dan untuk mengunjungi pasar terdekat di rumah mereka.
Ini adalah untuk mengurangkan risiko penularan virus Covid-19 antara masyarakat setempat dan bagi mematuhi langkah pemutus rangkaian jangkitan.
Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, sebelum ini pernah menggesa orang ramai agar tidak bergegas ke Pasar Geylang Serai pada sebelah pagi ekoran orang ramai yang dilihat beratur panjang pada hari cuti umum Good Friday baru-baru ini.
Beliau juga memberi saranan kepada orang ramai yang ingin membeli barang runcit di pasar: - Senaraikan barangan yang ingin dibeli. Jangan berlegar-legar di pasar. - Keluar secepat mungkin. - Beli pada hari biasa kalau boleh. - Warga emas harus elakkan ke pasar, dan dapatkan bantuan orang lain untuk membeli makanan atau barangan keperluan.
Mereka yang keluar rumah kini juga wajib menggunakan pelitup muka dan perlu mengamalkan jarak selamat demi melindungi kesihatan dan kesejahteraan.
Orang ramai juga boleh membeli barang pasar mereka secara dalam talian, seperti melalui laman atau aplikasi NTUC FairPrice, Lazada atau AliExpress.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg