VARIASI XBB semakin berkurangan dan Singapura berjaya menangani gelombang XBB tanpa langkah pengurusan selamat (SMM), kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung semalam.
Pengurangan jangkitan lebih awal daripada jangkaan itu membolehkan Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) mengetepikan pelan kecemasan yang dirancang sebelum ini, tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Ulang Tahun ke 20 Institut Health Management International di Hospital Khoo Teck Puat semalam.
Dengan kejayaan Singapura untuk meneruskan kehidupan seperti biasa, negara berupaya menganjurkan banyak persidangan dan acara yang mewujudkan peluang pekerjaan untuk orang ramai.
"Sekiranya Singapura hadapi gelombang jangkitan oleh varian yang berbahaya, kami mesti bersedia untuk melaksanakan semula langkah pengurusan selamat, seperti mengguna pelitup muka yang akan membantu memperlahankan penularan tanpa mengganggu kehidupan normal kita."
Oleh itu, salah satu strategi utama Singapura ialah strategi vaksinasi dan Singapura telah melancarkan vaksin bivalen kepada mereka yang berumur 50 tahun ke atas untuk memastikan vaksinasi dikemas kini dan mencegah penyakit teruk apabila dijangkiti Covid-19.
Pekerja penjagaan kesihatan sibuk sepanjang wabak Covid-19, terutama di jabatan kecemasan hospital untuk mengendalikan jumlah besar pesakit, yang disebabkan oleh peningkatan pesakit Covid-19.
Pandemik itu boleh mengganggu jagaan pesakit seperti biasa dan mereka mungkin telah berhenti mengambil ubat untuk penyakit kronik dan keadaan mereka menjadi lebih teruk, kata Menteri Kesihatan.
Jabatan Kecemasan sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menggalakkan pesakit bukan kecemasan untuk mendapatkan rawatan klinik GP atau Pusat Rawatan Segera.
Pada tahun akan datang, Singapura perlu meningkatkan lagi tenaga kerja jagaan kesihatan dan kemasukan baru pekerja tempatan, pengambilan pekerja asing dan juga penukaran kerjaya pertengahan.
Institut HMI ialah salah satu pusat Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) utama untuk penjagaan kesihatan dan telah melatih lebih 6,000 graduan untuk pelbagai peranan penjagaan kesihatan selama ini.
"Semasa wabak itu, HMI bertindak balas dengan pantas dan meningkatkan kursus dan melatih lebih 87,000 orang untuk mengendalikan operasi swabbing," kata Encik Ong.
Graduan di Majlis Ulang Tahun dan Graduasi Institut HMI ke-20 adalah daripada program SG United Skills (SGUS) yang telah menjalani latihan di institut HMI sejak dua tahun lalu. Mereka kini bersedia untuk bekerja dan menyumbang kepada sektor penjagaan kesihatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg