“
DUA kanak-kanak kecil merupakan antara 15 kes jangkitan Covid-19 dalam masyarakat yang dikesan Selasa (1 Jun). Lapan daripada kes dalam masyarakat itu berkait dengan kes terdahulu, dan baki tujuh tidak berkait buat masa ini, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya.Sebanyak tiga kes yang dimport turut dilaporkan pada Selasa, melibatkan dua warga Singapura yang pulang dari India dan Filipina, dan satu pemegang pas lawatan jangka pendek yang datang dari Filipina. Ini menjadikan kesemuanya 18 kes baru yang dikesan.
Salah satu kes melibatkan budak perempuan berusia dua tahun yang merupakan pelajar di Carpe Diem di 2 Ang Mo Kio Drive. Dia kali terakhir ke sekolah pada 14 Mei lalu. Dia merupakan ahli keluarga tiga kes terdahulu dan telah dikuarantin sejak 24 Mei lalu.
Satu lagi kes melibatkan budak perempuan berusia empat tahun yang merupakan pelajar di My First Skool (332B Anchorvale Link). Dia kali terakhir ke sekolah pada 12 Mei lalu. Dia merupakan anggota keluarga dua kes terdahulu, dan telah dikuarantin sejak 30 Mei.
Kes tidak berkait yang dilaporkan pula termasuk seorang wanita berusia 37 tahun yang menginap di MINDSville@Napiri. Dia mengalami simptom pada 29 dan 30 Mei, pergi ke klinik pada 31 Mei dan disahkan positif Covid-19 pada hari sama.
MOH turut mengumumkan penutupan semua kedai Hua Zai mulai Selasa hingga 15 Jun bagi kerja pembersihan dan untuk memutuskan rantaian jangkitan setelah beberapa individu yang bekerja di beberapa cawangan disahkan positif Covid-19.
Sementara itu, lagi 22 kes Covid-19 telah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. Lagi 217 kes sedang dirawat di hospital, termasuk dua yang berada dalam keadaan kritikal.
Lagi 338 diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.
Seramai 33 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan oleh jangkitan Covid-19.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg