PEMERINTAH sedang mengkaji kemungkinan menggunakan kapal persiaran, SuperStar Gemini dan SuperStar Aquarius, dua kapal persiaran bersaiz sederhana, untuk penginapan sementara pekerja asing yang telah pulih dari jangkitan COVID-19 dan diuji negatif bagi virus itu.
Dalam kenyataannya hari ini, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) berkata, ini dilakukan bagi membendung penularan Covid-19 dan membolehkan langkah-langkah kesihatan dilaksanakan lebih berkesan di asrama sedia ada dengan mengurangkan jumlah pekerja di situ.
"Jika didapati sesuai, dua kapal persiaran ini akan digunakan untuk melengkapi kemudahan sementara lainnya seperti kem tentera SAF dan blok HDB yang kosong.
"Kapal SuperStar Gemini dijadualkan tiba hari ini dari Hong Kong, sementara SuperStar Aquarius akan dikerahkan untuk penilaian pada satu tarikh lain. SuperStar Gemini akan berlabuh di Pusat Pelabuhan Marina Bay Singapura, di mana kapal akan menjalani pemeriksaan menyeluruh bagi menentukan kesesuaian sebagai tempat penginapan sementara untuk pekerja asing," kata STB dalam kenyataannya.
Pemeriksaan ini akan dijalankan dengan sokongan pengendali kapal, Genting Cruise Lines, dan akan ditimbangkan, antara lain, sistem pengalihan udara, tatacara keselamatan dan langkah kawalan jangkitan.
"Ia akan hanya digunakan untuk menempatkan pekerja asing jika ia lulus penilaian," kata STB.
Kapal persiaran dipertimbangkan kerana ia mempunyai bilik yang tersedia dan dilengkapi tandas bagi mengurangkan hubungan antara satu orang dengan yang lain,
"Jika didapati sesuai, kedua-dua kapal boleh memuatkan sehingga 2,000 pekerja asing dan akan dikerahkan hanya jika ada keperluan untuk menambah kemudahan tempat penginapan sementara sedia ada.
"Jika dilaksanakan, semua usaha dilakukan untuk menjaga kesihatan, kebajikan dan keselamatan pekerja asing di atas kapal, di mana mereka perlu menuruti piawaian tertinggi jarak selamat pada setiap masa. Mereka akan dibenarkan beriadah di kawasan terbuka pada jadual yang ditetapkan dan disediakan dengan kad SIM dan kemudahan jalur lebar Wifi untuk melungsuri Internet tanpa wayar," kata STB.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg