SEORANG warga India berusia 43 tahun yang sudah dibenarkan pulang dari hospital pada 6 April setelah dikatakan tidak lagi mampu menjangkiti orang sekeliling dengan koronavirus dikenal pasti sebagai punca wujudnya jangkitan semula.

Beliau menjangkiti dua individu lain, seorang akauntan berusia 41 tahun dan suaminya, 44 tahun, seorang pengurus restoran di dua kedai makan di sini.

Dua kes masyarakat ini dikenal pasti Kementerian Kesihatan (MOH) pada 16 April dan 18 April. Warga India itu mempunyai kaitan keluarga dengan akauntan yang merupakan adik iparnya.

Dengan kemunculan kes ini, MOH, dalam kenyataannya pada Selasa malam (20 April), menjelaskan kelompok baru terbentuk menyatukan tiga kes ini.

Lelaki berkenaan memiliki pas kerja dan dikenal pasti sebagai kes import pada 2 April setelah tiba dari India.

Sewaktu di hospital, beliau dikenal pasti sebagai baru pulih daripada virus berdasarkan nilai Ct yang tinggi yang menandakan muatan virus rendah. Ujian serologinya positif pada 4 April menyusuli ujian prakeberangkatannya pada 31 Mac yang negatif.

Beliau dibenarkan pulang pada 6 April tanpa perlu mengasingkan dirinya kerana disahkan tiada lagi dapat menjangkiti orang lain.

Namun, pada 17 April, beliau dikenal pasti sebagai kontak rapat adik iparnya dan diuji positif Covid-19.

Dalam kenyataannya pada Selasa malam (20 April), MOH yang merujuk pada panel pakar yang terdiri daripada pakar penyakit berjangkit dan mikrobiologi berkata, mereka merasakan lelaki ini kemungkinan sudah dijangkiti lagi dengan Covid-19, baru-baru ini.

MOH menambah, lelaki itu mungkin dijangkiti di India dan berada dalam keadaan mudah menjangkiti orang lain setibanya di Singapura.

"Dengan kemunculan varian baru yang menimbulkan keprihatinan serata dunia, kami akan memantau rapi jangkitan semula kes Covid-19 yang sudah pulih dan kami sedang menyemak langkah sempadan bagi pengembara yang sudah sembuh.

"Kes import serupa yang disyaki merupakan jangkitan semula akan diasingkan dan perlu menjalani ujian PCR berulang bagi memantau trend muatan virus bagi memastikan kes demikian dikesan segera," tambah MOH.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak dapat mengesahkan bila lelaki itu mengalami jangkitan pertama virus yang kembali lagi.

Ini bukanlah kes pertama jangkitan semula Covid-19 di Singapura.

Pada 25 Januari, warga Bangladesh berusia 28 tahun diuji positif koronavirus selepas pulih daripada jangkitan itu sekitar Jun tahun lalu.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti