Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Covid-19: Kes baru dalam masyarakat S'pura juruukur marin 46 tahun

Dec 30, 2020 | 11:30 PM
Foto SEMBCORP MARINE
Foto SEMBCORP MARINE -

KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) berkata satu kes Covid-19 baru dalam masyarakat yang dikesan pada Rabu (30 Dis) tidak mempunyai kaitan dengan kes-kes lain.

Lelaki penduduk tetap (PR) Singapura berusia 46 tahun itu bekerja sebagai juruukur marin di Lloyd's Register Singapore.

Pekerjaan beliau melibatkan tugas di atas kapal yang berlabuh di Sembcorp Marine Admiralty Yard.

Beliau menunjukkan simptom jangkitan pernafasan akut (ARI) pada 27 Disember dan mendapat rawatan di klinik umum pada 28 Disember. Di situ pesakit diuji bagi virus Covid-19.

Beliau disahkan positif keesokan hari dan dihantar dengan ambulans ke Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Hasil ujian serologi beliau negatif, menandakan kemungkinan jangkitannya baru.

MOH berkata pesakit tidak pergi bekerja sejak menunjukkan simptom. Ujian Rutin Dijadualkan (RRT) beliau pula - terakhir pada 14 Disember - didapati negatif.

Sementara itu, semua kontak terdekatnya termasuk anggota keluarga telah diasingkan dan dikuarantin. Mereka akan diuji di awal dan akhir tempoh kuarantin untuk mengesan kes-kes yang tidak menunjukkan simptom.

Kenyataan MOH pada Rabu malam turut menyatakan dalam kalangan 26 kes import baru, tiga merupakan warga Singapura dan empat PR yang pulang dari India, Indonesia, Portugal, Britain, Amerika Syarikat dan Switzerland.

Lima kes pula pemegang pas kerja yang tiba dari Filipina, India dan Britain, manakala tujuh pemegang permit kerja dari Indonesia, Myanmar - enam daripadanya pembantu rumah asing.

Satu kes pula pemegang pas kerja yang tiba dari UK pada 7 Disember, dan ditempatkan SHN di sebuah kemudahan khusus semasa tiba di Singapura.

Beliau diuji pada 17 Disember tetapi keputusan ujiannya negatif. Beliau menamatkan SHN pada 21 Disember, tetapi mula mengalami sakit badan pada 22 Disember dan gejala ARI pada 25 Disember.

Pesakit mendapatkan rawatan perubatan pada 28 Disember dengan ujian Covid-19 beliau positif pada 29 Disember. Pesakit kemudian dihantar ke NCID dengan ambulans.

Hasil ujian serologinya kembali positif. Hasil ujian awal juga menunjukkan pesakit positif bagi strain B117, dan sedang menunggu ujian pengesahan lebih lanjut.

Baki kes lain - tiga pemegang pas tanggungan yang tiba dari India; seorang pemegang pas pelajar yang tiba dari Indonesia; seorang pemegang pas lawatan jangka panjang yang tiba dari India; seorang pemegang pas lawatan jangka pendek dari Indonesia; seorang pemegang pas khas yang merupakan kru kapal dari Indonesia.

Mengenai kes melibatkan juruterbang SIA pula, MOH berkata:

"Lelaki Singapura berusia 40 tahun itu baru-baru ini telah ke UK untuk bekerja dari 19 Disember hingga 22 Disember."

Beliau diuji pada 23 Disember sebagai sebahagian daripada RRT untuk kru penerbangan.

Hasil ujiannya negatif bagi Covid-19 tetapi pada 26 Disember beliau demam dan telah mendapatkan rawatan perubatan di klinik doktor umum pada keesokan harinya dan menjalani ujian swab.

Ujiannya kembali positif untuk jangkitan Covid-19 pada 29 Disember sebelum pilot tersebut dihantar ke NCID dengan ambulans.

Hasil ujian serologinya kembali negatif, menunjukkan kemungkinan jangkitan baru.

Ujian awal juga menunjukkan beliau dijangkiti varian B117. MOH berkata, ujian lanjut akan dilakukan untuk mengesahkan jangkitan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg