LANGKAH pengurusan selamat bagi pelawat di semua wad hospital dan rumah penjagaan akan diperketat bagi empat minggu, mulai esok hingga 10 November, sedang jumlah kes Covid19 dalam masyarakat kian meningkat.
Kementerian Kesihatan (MOH) berkata pesakit hanya akan dibenarkan dua pelawat yang ditetapkan, dengan hanya seorang daripada mereka dibenarkan berada di sisi katil pesakit pada satu masa.
Pesakit yang berada dalam keadaan kritikal akan dibenarkan hingga lima pelawat yang ditetapkan, dengan dua daripada mereka dibenarkan berada di sisi katil pesakit pada satu masa.
Setiap lawatan pula akan dihadkan kepada setengah jam.
Dalam situasi luar biasa - seperti bagi pesakit yang berada dalam keadaan kritikal, pesakit kanak-kanak atau ibu bersalin serta mereka yang memerlukan sokongan penjagaan tambahan - pelawat boleh berada di sisi pesakit selama lebih setengah jam, bergantung pada budi bicara hospital.
Mereka yang menginap di rumah penjagaan pula dibenarkan hingga empat pelawat yang ditetapkan, dengan hanya seorang pelawat dibenarkan bersama mereka pada satu masa, hingga setengah jam.
Pelawat ke hospital dan rumah penjagaan harus memastikan mereka dalam keadaan sihat dan amat digalak menjalani ujian pantas antigen (ART) pada hari mereka mengadakan lawatan itu.
Terdapat 11,732 jangkitan baru Covid-19 yang dilaporkan kelmarin, lebih seganda berbanding 4,719 kes tempatan baru yang dilaporkan pada Isnin.
MOH berkata jabatan kecemasan hospital juga dikunjungi jumlah pesakit yang ramai setiap hari.
Orang ramai dinasihatkan agar ke jabatan kecemasan hospital hanya bagi kecemasan.
"MOH akan kerap menyemak dan menyesuaikan langkah ini sejajar dengan situasi Covid-19 yang berkembang.
"Kami meminta pemahaman dan kerjasama pesakit, penghuni (rumah penjagaan) serta anggota keluarga dan orang tersayang mereka sedang kami berusaha mengurangkan risiko penularan Covid-19 dalam institusi penjagaan kesihatan kita," ujar MOH.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg