Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Covid-19: Langkah pencegahan sektor marin dilanggar, ujian kini diperketat

Jan 3, 2021 | 5:30 AM
fa5eced1-1de2-4ddf-89a9-bbff0d64df1e
-

LANGKAH pencegahan penularan Covid-19 yang ditetapkan bagi sektor marin tidak dipatuhi dalam kes positif membabitkan sektor itu baru-baru ini.

Penyiasatan awal menunjukkan seorang juruukur marin yang diuji positif koronavirus itu pada 30 Disember mengambil makanan yang disediakan atau makan bersama anak kapal, sekali gus melanggar langkah pencegahan itu.

Perkara sama berlaku bagi kes seorang jurutera khidmat marin yang diuji positif pada 26 November.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB), Enterprise Singapore dan Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan mereka memandang serius ketidakpatuhan langkah pengurusan selamat Covid-19 dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap syarikat dan individu yang melanggarnya.

Mereka menyatakan dalam kes jurutera itu, MPA telah menghentikan syarikatnya, Master Systems Marine, menghantar kakitangannya untuk bekerja di atas kapal.

Ini akan berterusan hingga syarikat itu dapat menunjukkan pekerjanya akan mematuhi langkah pengurusan selamat semasa di atas kapal.

Bagi kes juruukur marin itu, syarikat Lloyd's Register Singapore telah menggantung semua khidmat audit dan tinjauan perkapalannya.

Syarikat itu juga akan melakukan ujian Covid-19 bagi semua juruukur marinnya.

Kenyataan itu menambah bahawa pihak berkuasa sedang melakukan siasatan lanjut berkaitan sebarang pelanggaran langkah pengurusan selamat Covid-19 dalam kes positif Covid-19 di sektor marin.

Tindakan lanjut boleh diambil terhadap syarikat dan individu selepas siasatan itu selesai.

MPA juga berkata ia memerlukan semua kakitangan berkaitan marin dan perkapalan memberinya notis sebelum menaiki kapal untuk melakukan tugasan masing-masing.

Ia akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemilik kapal, atau pihak agen berkaitan ketidakpatuhan langkah pengurusan selamat.

Ekoran dua kes Covid-19 itu, MPA akan mengetatkan langkah ujian bagi semua kakitangan dalam sektor itu yang menaiki kapal.

Pertama, mereka mesti mengambil ujian reaksi rangkaian polimerase (PCR) dalam tempoh tujuh hari ini, dari semalam hingga 8 Januari, untuk memastikan mereka bebas Covid-19.

Ini merangkumi lebih 20,000 pekerja.

Kedua, mereka akan dikenakan sistem ujian lebih ketat, iaitu diuji setiap tujuh hari, berbanding 14 hari sebelum ini.

Mereka yang tidak mematuhi sistem ujian baru itu tidak akan dibenarkan menaiki kapal untuk melakukan tugas mereka.

Langkah itu sebagai tambahan kepada pengumuman MOH pada 31 Disember bahawa akan diadakan operasi ujian khas untuk menguji semua pekerja yang berada di kapal yang dinaiki juruukur marin itu dan seorang malim pelabuhan yang kededuanya diuji positif Covid-19.

"Memandangkan dua kes baru-baru ini, MPA akan memperketat rejim ujian untuk semua kakitangan berpangkalan di pantai yang menaiki kapal. Pertama, semua kakitangan berpangkalan di darat yang menaiki kapal perlu mengambil ujian PCR (reaksi rangkaian polimerase) Covid-19 dalam tempoh tujuh hari ini, antara 2 dan 8 Januari 2021, untuk memberi jaminan bahawa mereka bebas Covid-19. Ini akan merangkumi lebih 20,000 kakitangan. Kedua, selepas itu mereka akan dikenakan rejim RRT (ujian rutin berjadual) lebih ketat; mereka akan diuji setiap tujuh hari dan bukan 14 hari seperti sebelum ini. Mereka yang tidak mematuhi peraturan RRT tidak akan dibenarkan menaiki kapal untuk bekerja." - Kenyataan bersama Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Enterprise Singapore, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), dan Kementerian Kesihatan (MOH).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg